fb fb fb fb fb

Ayuh bersama, kita terapkan budaya kerja cemerlang

Foto hiasan/FB Anwar Ibrahim

SAUDARA PENGARANG

Kini kebanyakan kita, bekerja hanyalah dijadikan sekadar rutin harian duniawi semata-mata, iaitu masuk ke tempat kerja, siapkan pekerjaan yang diberi dan pulang ke rumah setelah selesai semua tugasan.

Namun sebenarnya, jika kita melihat pekerjaan dari perspektif Islam, bekerja bukanlah sekadar rutin duniawi dan juga platform untuk mencari nafkah semata-mata, tetapi bekerja merupakan satu peluang yang Allah beri kepada kita sebagai hambanya untuk meraih ganjaran hebat di akhirat kelak.

Islam memandang sesuatu pekerjaan itu sebagai salah satu bentuk ibadah apabila kita melakukannya dengan niat yang betul, ikhlas dan dijalankan dengan penuh amanah tanpa sebarang penipuan.

Pekerjaan Sebagai Satu Amanah dan Ibadah

Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah yang bermaksud: “Dan katakanlah: Bekerjalah kamu, maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman” (Surah At-Taubah, 9:105).

Ayat al-quran ini dengan jelas memberitahu kita bahawa setiap pekerjaan yang kita lakukan bukan hanya untuk dilihat dan dinilai oleh manusia sahaja, namun yang lebih besar adalah penilaian dari Allah SWT.

Setiap pekerjaan yang kita lakukan berada bawah pengawasan Allah SWT tanpa ada satu pun yang terlepas dari pengamatan-Nya. Kita haruslah menjadikan hari-hari bekerja sebagai medan bagi membuktikan nilai amanah, kejujuran dan juga sikap bertanggungjawab dalam pekerjaan yang diberi.

Selain itu, Rasulullah SAW juga bersabda dalam satu hadis yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai seseorang apabila dia melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (tekun dan sempurna)” (Hadis Riwayat Baihaqi).

Sikap itqan ialah menolak segala sikap sambil lewa, kerja ala kadar dan ‘asal siap’. Jadi, kita perlu menjadikan tempat kerja bukan sekadar mencari rezeki, tapi untuk mendapatkan cinta Allah SWT dan menjadikan tempat kerja sebagai tapak ibadah sebagai bekalan akhirat kelak kerana cinta yang paling mahal untuk didapatkan adalah cinta Allah SWT.

Nilai Spiritual Semasa Bekerja

Islam menyeru umatnya untuk menjadikan tempat kerja sebagai medan mewujudkan hubungan spiritual dengan Allah SWT. Hubungan ini dapat dicipta apabila kita melakukan sesuatu tugasan yang disertakan dengan niat yang ikhlas dan dilakukan dengan sikap yang amanah, dan ianya akan boleh berubah menjadikan pekerjaan yang kita lakukan itu sebagai satu ibadah yang dapat diberikan ganjaran pahala oleh Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ash-Shura yang bermaksud: “Barangsiapa yang menghendaki keuntungan di akhirat, akan kami tambahkan keuntungan itu baginya; dan barangsiapa yang menghendaki keuntungan di dunia, kami berikaaan kepadanya sebahagian daripadanya, tetapi dia tidak akan mendapat bahagian di akhirat.” (Surah Ash-Shura, 42:20)

Ayat al-quran ini menjelaskan kepada kita bahawa redha Allah SWT adalah perkara utama dalam setiap apa yang kita lakukan, bukanlah untuk perkara dunia semata-mata. Maka, apabila niat kita bekerja adalah untuk menyara ahli keluarga, memberi manfaat kepada orang lain, maka ketahuilah bahawa kita sedang menanam saham akhirat.

Contoh yang dapat kita ambil adalah melayan pelanggan dengan sikap yang baik, menyusun laporan dengan penuh teliti dan juga mematuhi segala arahan ketua, semua perkara ini dapat menjadi ladang pahala kepada kita apabila kita melaksanakannya dengan niat yang baik.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat. "(Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Agama Islam juga melarang kita daripada perkara-perkara yang dapat merosakkan nilai kerja seperti mengambil rasuah, terlibat dengan penipuan, menggunakan waktu kerja melakukan perkara yang tidak sepatutnya sepertimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Daging yang tumbuh daripada sumber yang haram, maka neraka lebih utama baginya.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Apabila seseorang individu itu bekerja tanpa mematuhi etika kerja dan juga mengambil mudah perkara-perkara haram yang Allah SWT tetapkan, maka bukan hanya hasil yang diperoleh itu tercela, tetapi rezeki yang diperoleh juga menjadi tidak berkat.

Pengurusan Masa di Tempat Kerja

Masa merupakan satu amanah yang Allah SWT berikan kepada semua hambaNya dan akan dipersoalkan di akhirat kelak tanpa terkecuali satu saat pun. Rasulullah SAW bersabda: "Dua nikmat yang sering dilupakan oleh kebanyakan manusia: kesihatan dan masa lapang." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini dengan jelas memberitahu kita bahawa masa, yang bagi kita adalah suatu perkara kecil dan biasa, namun sebenarnya ia juga merupakan satu rezeki amat bernilai dan tidak dapat diulang kembali.

Namun, kita sering alpa dan tidak memanfaatkan dengan sebaiknya seperti menangguhkan tugas dengan alasan tidak munasabah, melepak, menghabiskan masa dengan media sosial, berbual kosong sesama rakan kerja serta mengganggu kerja orang lain.

Sikap seperti ini bukan sekadar merugikan diri sendiri dan juga organisasi malah menghilangkan keberkatan rezeki dan juga masa. Allah SWT berfirman dalam surah Al- ‘Asr yang bermaksud: "Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta kesabaran." (Surah Al- ‘Asr, 103: 1-3)

Manusia sering berada dalam kerugian sekiranya masa yang ada tidak digunakan dengan sebaiknya. Jadi, kita haruslah sentiasa ingat bahawa seseorang yang mengurus masa dengan baik akan mampu menyiapkan banyak perkerjaan tanpa merasa terbeban keranaa Allah telah meletakkan keberkatan dalam waktu dia bekerja.

Budaya Kerja Positif Yang Diajarkan Islam

Keharmonian bekerja datang daripada akhlak individu itu sendiri. Rasulullah SAW bersabda: “Senyumanmu kepada saudaramu adalah sedekah.” (Hadis Riwayat Tirmizi). Hadis ini menunjukkan kepada kita bahawa sekecil-kecil perkara mampu memberi kesan yang besar dalam mewujudkan iklim kerja yang positif di tempat kerja.

Selain itu, amalan menyebarkan salam, menjaga adab pertuturan dapat mengelakkan permusuhan dan juga dendam. Rasulullah SAW juga bersabda: “Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar atas kejahatan mereka, lebih baik daripada orang yang tidak bergaul dan tidak bersabar atas kejahatan mereka.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Melalui hadis ini, kita dapat panduan untuk berperanan secara aktif dalam membentuk suasana yang positif walaupun terpaksa berhadapan kerenah manusia yang pelbagai.

Kesimpulan

Setiap hari kita bekerja merupakan satu peluang yang amat berharga untuk diri kita bagi membina dua kerjaya yang serentak, iaitu kejayaan di dunia melalui kerjaya kita, dan juga kejayaan di akhirat melalui niat dan juga cara kerja yang selaras dengan apa yang Islam ajarkan.

Jadi, marilah kita tetapkan tekad dalam diri bahawa apabila kita melangkah masuk ke tempat kerja, kita bukan hanya masuk sebagai pekerja, namun sebagai hamba Allah SWT yang sedang beribadah.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

PROF MADYA DR SHUREEN FARIS ABD SHUKOR1    
Prof. Madya Dr. Shureen Faris Abd. Shukor
Ketua Jabatan Senibina Landskap
Fakulti Rekabentuk dan Senibina
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI