fb fb fb fb fb

Jenayah doxing, lindungi privasi dan henti aib digital

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Dalam ekosistem digital pada hari ini, dengan satu klik, ianya sudah cukup mengubah hidup seseorang. Jika dahulu maruah manusia dilindungi dalam ruang peribadi, kini segalanya boleh diheret ke ruang awam untuk dihakimi, dikecam dan diaibkan tanpa belas kasihan. Inilah wajah baharu ancaman digital yang kita kenali sebagai doxing.

Kini, buat pertama kalinya dalam sejarah perundangan negara, doxing secara rasmi telah diwartakan sebagai satu kesalahan jenayah. Langkah ini memberi isyarat jelas bahawa Malaysia serius dalam melindungi maruah dan keselamatan rakyat di ruang digital. Mulai 11 Julai 2025, pindaan kepada Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 mula berkuat kuasa. Doxing secara rasmi diiktiraf sebagai satu kesalahan jenayah.

Perbuatan menyebarkan maklumat peribadi tanpa izin, dengan niat untuk mengaibkan, menakutkan, mengugut atau memberi tekanan kepada seseorang, kini boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun. Mangsa juga boleh mengambil tindakan sivil untuk menuntut ganti rugi atas kerosakan yang dialami.

Istilah "doxing" berasal daripada "dropping documents" iaitu tindakan menyebarkan maklumat peribadi seseorang seperti nama penuh, alamat, nombor telefon, tempat kerja, butiran kewangan atau gambar, tanpa izin dan dengan niat untuk memalukan atau mengancam.

Perbuatan itu sering dilakukan di media sosial secara terbuka, biasanya disertakan dengan ajakan untuk membuli atau 'mendedahkan' individu tersebut kepada umum. Ironinya, ramai yang melakukannya tanpa sedar dan menjadi ‘hakim digital’. Hakikatnya, setiap klik itu mungkin membawa kepada trauma mendalam yang tidak kelihatan pada zahirnya.

Sebagai seorang pensyarah dalam bidang komunikasi dan teknologi media, saya melihat langkah pewartaan ini sebagai satu langkah proaktif dan tepat pada masanya. Ia mengiktiraf privasi adalah hak asasi, bukan bahan jenaka atau permainan. Tiada sesiapa berhak mendedahkan maklumat peribadi individu lain tanpa keizinan, walau atas apa jua alasan.

Langkah ini juga penting untuk membendung budaya ”memalukan orang” yang semakin berleluasa. Kita sering melihat tindakan seperti, “Inilah boss dia!” atau “Ini alamat rumah dia, tolong tularkan.” Mungkin niatnya untuk memberi pengajaran, tetapi realitinya ia membuka ruang kepada pembulian dan ancaman keselamatan yang serius.

Pewartaan ini juga memberi perlindungan khusus kepada golongan rentan seperti wanita, kanak-kanak, pelajar, aktivis dan komuniti minoriti yang lebih mudah menjadi sasaran dalam ruang digital.

Cabaran Penguatkuasaan
Namun, pewartaan sahaja tidak mencukupi. Cabaran utama adalah tahap kesedaran masyarakat yang masih rendah. Ramai tidak menyedari bahawa tindakan seperti mengambil tangkap layar mesej, gambar atau maklumat seseorang dan menyebarkannya di media sosial tanpa izin adalah satu kesalahan.

Tambahan pula, budaya menghukum secara terbuka di media sosial semakin membarah. Satu klip video pendek atau kenyataan luar konteks sudah cukup untuk ‘mengadili’ seseorang di ruang awam. Dalam suasana ini, keadilan sebenar seolah-olah diketepikan, dan reputasi seseorang boleh dimusnahkan dalam sekelip mata.

Tanggungjawab Bersama

Bagi mewujudkan persekitaran digital yang benar-benar selamat dan adil, tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan hanya di bahu penggubal undang-undang atau pihak berkuasa semata-mata. Ia memerlukan gabungan antara kuasa perundangan yang tegas dengan kekuatan nilai moral dalam masyarakat.

Kita semua, sebagai warga digital yang aktif, harus menginsafi bahawa setiap tindakan kita di ruang maya membawa kesan yang nyata terhadap kehidupan orang lain. Kita juga perlu berhenti menekan butang ‘kongsi’ secara semborono.

Sebaliknya, fikir dahulu seperti ”adakah tindakan ini membetulkan keadaan, atau menambah luka?” Jika benar berlaku kesalahan, gunakan saluran rasmi seperti polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Media sosial bukan tempat untuk menjadi hakim dan juri, apatah lagi menjatuhkan hukuman secara terbuka tanpa ruang pembelaan.

Dalam masa yang sama, pendidikan tentang etika digital harus dimulakan seawal mungkin. Anak-anak dan pelajar wajar dididik bahawa ruang peribadi bukan hanya wujud secara fizikal, tetapi juga dalam bentuk maya. Tindakan seperti menyebarkan gambar rakan tanpa izin atau memuat naik kandungan yang mendedahkan identiti seseorang bukan sahaja tidak beretika, malah boleh memberi kesan psikologi jangka panjang kepada individu yang terlibat.

Pewartaan doxing sebagai kesalahan jenayah adalah satu kenyataan bahawa maruah dan privasi setiap individu wajar dilindungi, sama ada dalam dunia nyata mahupun dunia maya. Kita tidak mahu hidup dalam masyarakat yang sentiasa mencari kesalahan, menggali maklumat peribadi dan menjatuhkan orang lain atas nama ‘kebenaran’.

Sebaliknya, kita harus membina sebuah ruang digital yang berasaskan hormat, empati dan tanggungjawab bersama. Jangan tunggu sehingga kita atau orang tersayang menjadi mangsa, barulah kita mahu bersuara. Hal ini demikian kerana, dalam dunia digital hari ini, maruah yang musnah tidak boleh dimuat turun semula.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR MIHARAINI MD GHANI
Dr. Miharaini Md Ghani
Pensyarah Pusat Pengajian Komunikasi
Universiti Sains Malaysia

MAT YUNUS BIN SABRI