fb fb fb fb fb

Krisis komunikasi keluarga cermin masalah pelajar IPT

Foto hiasan

SAUDARA PENGARANG

Fenomena pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang terlibat dalam pelbagai isu seperti tekanan mental, kes ponteng kelas, gangguan disiplin, penyalahgunaan dadah, dan masalah hubungan sosial semakin membimbangkan.

Laporan demi laporan yang dikongsikan oleh pihak universiti, kaunselor pelajar dan juga media menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan generasi pelajar masa kini. Persoalannya, dari mana punca sebenar masalah ini bermula?

Salah satu jawapan yang semakin mendapat perhatian adalah komunikasi dalam hubungan kekeluargaan. Walaupun isu ini tampak klise, ia sebenarnya menjadi akar yang tidak boleh diabaikan.

Komunikasi yang lemah, dingin, atau toksik antara ibu bapa dan anak-anak telah mencetuskan pelbagai kesan domino yang akhirnya meletup apabila anak-anak melangkah ke alam kampus.

Komunikasi : Lebih dari sekadar bertanya “dah makan?”

Ramai ibu bapa menyangka mereka sudah menjalankan tanggungjawab komunikasi apabila mereka bertanya rutin harian seperti “dah makan?”, “belajar elok-elok”, atau “jangan keluar malam sangat”. Namun, komunikasi dalam konteks kekeluargaan bukan sekadar perbualan harian yang kosong tanpa emosi dan pemahaman.

Komunikasi berkesan ialah apabila anak-anak merasa selamat untuk berkongsi rasa hati, pendapat dan konflik tanpa takut dihakimi. Apabila ruang komunikasi ini tiada, anak-anak mencari tempat lain untuk meluah sama ada rakan sebaya, media sosial, atau lebih buruk lagi, tempat yang mendorong kepada pilihan negatif.

Masalah utama dalam komunikasi kekeluargaan hari ini adalah wujudnya emotional disconnection. Ibu bapa sibuk dengan kerjaya dan urusan peribadi, manakala anak-anak pula terperangkap dalam dunia digital mereka. Interaksi menjadi semakin minimum dan lebih bersifat formal.

Pelajar yang datang dari latar belakang keluarga seperti ini sering menunjukkan tanda-tanda seperti sukar mengekspresikan emosi, terlalu bergantung pada orang luar untuk validasi dan hilang motivasi kerana tiada sokongan emosi dari rumah.

Di IPT, pelajar seperti ini mudah terdedah kepada tekanan dan kemurungan kerana mereka tidak terbiasa mencari penyelesaian melalui perbualan dengan orang yang mereka percayai kerana mereka tidak pernah memiliki model itu di rumah sendiri.

Media sosial gantikan ibu bapa?

Dalam dunia yang serba canggih ini, ramai anak-anak mendapat bimbingan dan pengaruh daripada media sosial. Tanpa kawalan komunikasi yang kukuh dari rumah, pelajar cenderung mencari jawapan di TikTok, Twitter dan YouTube yang tidak semestinya membawa kepada arah yang betul.

Bila komunikasi dalam keluarga tidak kondusif, media sosial menjadi rujukan utama untuk soal perasaan, cinta, maruah, tekanan belajar dan hala tuju hidup. Inilah punca mengapa ramai pelajar akhirnya terperangkap dalam naratif yang tidak sihat seperti gaya hidup bebas, normalisasi kemurungan dan kesunyian.

Ibu bapa ‘old school’, anak zaman AI

Perbezaan generasi juga menyumbang kepada keretakan komunikasi. Ibu bapa yang berfikiran konservatif kadang kala gagal memahami realiti dunia semasa yang dihadapi oleh anak-anak mereka di IPT. Bila anak meluah, mereka dikatakan mengada-ngada. Bila anak meminta ruang, mereka dikatakan biadab.

Kesannya, ramai pelajar akhirnya memendam dan memilih untuk tidak bercakap langsung. Emosi yang tidak diproses ini akan meletus dalam bentuk lain sama ada melalui keruntuhan prestasi akademik, pengasingan sosial, atau dalam kes tertentu, cubaan membunuh diri.

Menurut satu kajian oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2023, hampir 62 peratus pelajar IPT mengaku tidak mempunyai hubungan komunikasi yang baik dengan ibu bapa mereka. Kajian juga mendapati bahawa pelajar yang mempunyai hubungan komunikasi mesra dengan keluarga lebih cenderung untuk berjaya secara akademik dan sosial.

Kaunselor dari Universiti Malaya pula menyatakan bahawa majoriti kes tekanan yang diadukan oleh pelajar bermula daripada konflik emosi yang tidak ditangani sejak dari rumah. Ini menunjukkan bahawa komunikasi kekeluargaan bukan sekadar elemen tambahan, tetapi keperluan asas bagi kestabilan pelajar di kampus.

Perlu dimulakan dari rumah

Masalah ini tidak boleh dibebankan sepenuhnya kepada pihak universiti atau IPT. Asas komunikasi perlu dibina sejak kecil lagi. Ibu bapa perlu belajar mendengar tanpa menghukum, menghargai pandangan anak walaupun berbeza, menyediakan ruang selamat untuk anak bercakap jujur, mengurangkan tekanan ekspektasi yang melampau dan mewujudkan budaya keluarga yang terbuka dan berempati.

Bukan semua ibu bapa pernah didedahkan kepada ilmu komunikasi emosi, namun itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak berubah. Dunia berubah, anak-anak juga berubah dan cara berkomunikasi juga perlu seiring.

Peranan IPT dan pihak berwajib

IPT juga boleh memainkan peranan proaktif dengan menyediakan bengkel komunikasi kekeluargaan semasa minggu orientasi, menggalakkan kaunseling keluarga bagi pelajar yang bermasalah, menyediakan platform perbincangan antara ibu bapa dan pensyarah dan membentuk sistem mentor pelajar yang memahami aspek psikososial.

Kementerian Pendidikan Tinggi juga boleh bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam membangunkan modul khas yang fokus kepada pendidikan komunikasi kekeluargaan untuk semua lapisan masyarakat.

Masalah pelajar di IPT tidak boleh dilihat secara berasingan daripada konteks kekeluargaan mereka. Komunikasi yang lemah dari rumah akan mempengaruhi cara mereka membina hubungan, menangani tekanan dan membuat keputusan dalam hidup.

Jika kita mahu melahirkan pelajar yang matang, seimbang dan berdaya tahan, kita perlu bermula dengan memperbaiki cara kita berkomunikasi di rumah. Kita tidak perlukan rumah yang sempurna, cukup rumah yang berbicara.

Sebagai masyarakat, kita sering cepat menghukum pelajar yang bermasalah, tetapi lupa melihat akar umbi permasalahan mereka.

Dalam dunia yang serba kompleks ini, suara anak muda perlu didengar, bukan sekadar didengar, tetapi difahami. Komunikasi bukan kemahiran mewah, ia satu keperluan asas dalam membentuk masa depan generasi kita.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Nur Hafizah Hadi
Penyelidik
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor

DR HAZLIN FALINA ROSLI
Dr Hazlin Falina Rosli
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains Sosial
Universiti Islam Selangor

ROSLINA BINTI DIN