fb fb fb fb fb

AI meningkat pengajaran bukan mengganti

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Beberapa tahun lalu, jika seseorang memberitahu saya bahawa kecerdasan buatan (AI) akan mengubah cara saya mengajar fizik, saya mungkin akan menganggapnya sebagai cerita fiksyen sains. Namun hari ini, ia sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian saya.

Sebagai seorang pensyarah fizik di universiti, saya percaya bahawa mengajar itu adalah seni dan sains. Seni dalam cara kita berhubung dengan pelajar, manakala sains dalam cara kita mengukur serta meningkatkan kefahaman mereka.

Selama bertahun-tahun, saya menggunakan kaedah tradisional seperti kuliah menggunakan papan putih, kuiz bertulis, dan berjam-jam meluangkan masa untuk menanda tugasan pelajar. Ia berkesan, tetapi sangat meletihkan, terutamanya dengan saiz kelas yang besar. Kemudian, AI mula memainkan peranannya.

Perubahan besar pertama berlaku dalam proses penilaian. Menanda kuiz dan ujian secara manual sebelum ini mengambil masa lama, terutamanya apabila jumlah pelajar yang ramai dalam satu kelas. Kini, dengan platform seperti Moodle yang disokong oleh AI, banyak tugas penandaan dapat dilakukan secara automatik.

AI bukan sahaja dapat menanda soalan objektif dengan serta-merta, malah ia mampu menganalisis corak prestasi pelajar dan mengesan ketidaknormalan seperti penipuan. Perubahan ini bukan sahaja menjimatkan masa pensyarah, tetapi juga meningkatkan ketelusan dan keadilan dalam sistem penilaian.

Perubahan seterusnya melibatkan sesi amali fizik. Dahulu, kami menghadapi kesukaran untuk memberi perhatian secara individu kepada setiap pelajar semasa eksperimen dijalankan. Dengan bilangan pelajar yang ramai dan kekangan peralatan makmal yang selalunya mahal dan tidak mencukupi, tidak semua pelajar berpeluang mencuba eksperimen secara langsung.

Keadaan menjadi lebih mencabar semasa pandemik COVID-19, apabila sesi pembelajaran bersemuka terganggu dan pelajar tidak dapat hadir ke makmal secara fizikal. Ketika itulah penggunaan simulasi makmal berasaskan AI mula diperkenalkan secara lebih meluas sebagai penyelesaian kepada jurang dalam pembelajaran amali. Ia bukan sahaja memastikan proses pembelajaran dapat diteruskan dalam talian, malah membuka peluang kepada pelajar untuk melakukan eksperimen secara kendiri dan fleksibel dari mana-mana lokasi.

Kini, dengan bantuan simulasi makmal dan alat maklum balas berasaskan AI, setiap pelajar boleh menjalankan eksperimen secara individu dalam persekitaran maya. Mereka menerima maklum balas segera terhadap data eksperimen, analisis ralat, dan laporan mereka. Platform seperti ini bukan sahaja menjadikan amali fizik lebih mudah diakses dan kos efektif, malah mendorong pelajar untuk belajar secara kendiri serta mengasah kemahiran pemikiran kritikal.

Ramai rakan pensyarah fizik saya turut berkongsi pengalaman sama. “Dulu kami memerlukan beberapa hari untuk menanda tugasan seperti kuiz bagi satu kelas. Kini, dengan bantuan AI, proses penandaan menjadi lebih pantas dan konsisten. Masa yang dijimatkan itu boleh dimanfaatkan untuk memberi tumpuan kepada penyelidikan serta membangunkan bahan pengajaran yang lebih berkualiti.”

Apa yang paling mengejutkan saya ialah perubahan dalam minat pelajar. Apabila kami mula menggunakan alat AI untuk kuiz, tugasan dan amali, ramai pelajar menunjukkan keterujaan. Mereka menyukai maklum balas segera, modul pembelajaran yang interaktif dan fleksibiliti untuk belajar mengikut masa mereka sendiri.

Jelas kelihatan bahawa generasi pelajar hari ini lebih selesa dan berminat dengan pembelajaran digital berbanding kaedah tradisional. Bagi mereka, AI bukan sesuatu yang menakutkan, malah membantu mereka menjadi lebih yakin dalam pembelajaran.

Sudah tentu, penggunaan AI dalam pendidikan tidak datang tanpa cabaran. Ia memerlukan latihan, penyesuaian, dan perubahan minda. Bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malah dalam kalangan pensyarah sendiri. Kami terpaksa mengubah peranan kami, bukan lagi sebagai penyampai ilmu semata-mata, tetapi sebagai pembimbing dalam perjalanan pembelajaran mereka.

Ada juga kebimbangan bahawa AI boleh mengurangkan interaksi manusia dalam pendidikan. Tetapi pengalaman saya menunjukkan sebaliknya. Dengan tugas rutin yang diambil alih oleh AI, saya kini mempunyai lebih banyak masa untuk memberi perhatian kepada perkara yang lebih penting seperti membimbing pelajar, menerangkan konsep-konsep sukar, dan memupuk rasa ingin tahu mereka. AI bukan menggantikan peranan saya, tetapi memperkasakan saya untuk menjadi pendidik, lebih baik.

Transformasi ini baru bermula. Saya percaya AI akan terus berkembang dan menyokong pendidikan secara lebih mendalam. Termasuk pembelajaran adaptif yang disesuaikan dengan keperluan setiap pelajar, serta memberi amaran awal tentang cabaran akademik yang mungkin mereka hadapi.

Bagi saya dan ramai lagi pendidik, perjalanan bersama AI bukan tentang menggantikan cara lama, tetapi meningkatkannya. Ia tentang mencari keseimbangan antara teknologi dan sentuhan manusia. AI telah mengubah cara saya mengajar dan bukan menjadikan saya kurang peranan sebagai seorang pensyarah, tetapi membantu saya menjadi lebih baik.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

NORHAFIZA MUDA
Norhafiza Muda
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Bahagian Fizik
Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM)
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI