SAUDARA PENGARANG
Dalam era digital yang kian mencabar ini, jenayah rasuah tidak lagi berlaku di ‘lorong gelap’ atau melalui pemberian atau penerimaan secara rahsia. Sebaliknya, ia bergerak pantas melalui satu klik di komputer atau peranti komunikasi pintar yang membolehkan transaksi kewangan termasuk menggunakan mata wang kripto, penggunaan akaun luar pesisir dan sistem kewangan maya.
Atas kepesatan kemajuan teknologi digital ini, timbul persoalan iaitu, adakah SPRM masih mahu bergantung sepenuhnya kepada kaedah siasatan tradisional dalam menjejak kegiatan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa serta pengubahan wang haram?
Jawapannya sudah pastilah tidak. Di sinilah Kecerdasan Buatan atau Artificial Intelligence (AI) tampil sebagai senjata strategik baharu dalam medan pertempuran menentang rasuah. Bukan untuk menggantikan manusia, tetapi untuk memperkasakan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar lebih tangkas, proaktif dan efisien.
Bayangkan seorang penyiasat perlu menyemak ribuan fail kewangan dan transaksi digital untuk mencari satu jejak rasuah. Tetapi dengan penggunaan AI, ia mampu menyelesaikan kerja itu dalam beberapa minit.
Melalui algoritma pintar dan pemprosesan data skala besar, AI membantu mengesan transaksi luar kebiasaan dengan membangunkan jaringan pintar antara individu, syarikat dan data kewangan. Seterusnya menganalisis kebarangkalian atau potensi berlakunya konflik kepentingan atau wujudnya aktiviti jenayah rasuah menerusi maklumat bersumberkan data projek serta jejak transaksi kewangan.
AI bukan sekadar mencari jarum dalam jerami sebaliknya ia mencari jerami yang menyerupai jarum atau dalam kata lain, ia mencari jejak jenayah rasuah yang ditutup atau kelihatan sah namun sebenarnya menyalahi undang-undang.
Digitalisasi: Mengurangkan Risiko, Meningkatkan Kecekapan
Digitalisasi terbukti menjadi antara alat paling berkesan dalam membanteras rasuah secara sistematik. Peralihan kepada sistem digital mengurangkan ruang intervensi manusia, yang sering menjadi punca kepada ketirisan, penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Malah, teknologi ini juga meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan menutup ruang manipulasi dalam sistem sedia ada.
Bagi memastikan SPRM sentiasa kedepan dalam aspek penguatkuasaan melibatkan siasatan jenayah rasuah mahupun bagi melancarkan sistem pengurusan dalam pentadbiran, SPRM turut mengaplikasi pengunaan teknologi AI dan sistem digital.
Antara penggunaan AI ini adalah seperti Applied AI Tools and Open-Source Intelligence (OSINT), AI Chatbot, Tungsten TotalAgility (TTA), Natural language Processing (NLP) dan IDEA Caseware bagi tujuan pemprofilan, pengesanan maklumat digital dan analisis awal. Kewujudan perisian berteraskan AI ini juga mampu mengesan ralat atau data yang hilang secara automatik contohnya nombor akaun yang tak sah atau kewujudan kesalahan format seperti tarikh.
Antara kelebihan AI ini juga, ia membantu dalam menganalisis serta menyusun data tidak berstruktur dengan menghasilkan imej paparan pemuka dan peta jaringan selain membantu menjana data analitik yang merumus seterusnya mengesan trend atau corak perbuatan.
Malah, bagi mengurus data-data berpandukan sumber imbasan imej kepada teks digital yang boleh dicari, disunting serta dianalisis dengan lebih pantas serta efisien, SPRM turut menggunakan perisian seperti Adobe Acrobat Pro DC dan ABBYY FineReader dalam mempercepat penyediaan data.
Untuk memastikan pengurusan perkhidmatan di SPRM dapat bergerak secara efektif sama ada bagi urusan dalaman atau luaran dengan agensi dan pihak-pihak berkepentingan lain, SPRM turut memperkenalkan penggunaan sistem digital seperti Complaint Management System (CMS) serta Corruption Reporting Information System (CRIS.
Sistem itu bagi pengurusan aduan dan pengurusan maklumat rasuah secara berpusat, Sistem Pengurusan Eksibit (EMS) untuk mengurus barang kes secara digital, MACC Fingerprint Information System (MACCFIS) bagi pengurusan cap jari secara digital untuk pesalah rasuah serta sistem MACCKPI dan Sistem Tapisan Keutuhan (eSTK) bagi pengurusan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pegawai-pegawai dan kakitangan di Suruhanjaya ini.
Bagi menyelaras maklumat serta komunikasi antara agensi-agensi lain khususnya dalam pengurusan risiko rasuah atau pembangunan pelan antirasuah organisasi, SPRM turut menggunakan sistem dikenali sebagai Sistem OACP dan CRM bagi memudahkan interaksi.
Malah, SPRM turut memperkenalkan sistem Pelaporan Jawatankuasa Tatakelola Peringkat Nasional SPRM (eSPJ) bagi menyelaras laporan Jawatankuasa Tatakelola di peringkat kementerian dan telah mengaplikasi penggunaan Agency Integrity Management System (AIMS) yang bertindak sebagai sistem pemantauan dan pelaporan fungsi unit integriti di agensi awam selain sistem PenMas Reporting Information and Database (PRIDE) dalam mengurus serta memantau aktiviti atau program pencegahan dan pendidikan.
Dalam memperkasa sistem penyampaian maklumat kepada masyarakat, SPRM juga turut menggunakan avatar pegawai SPRM yang menggunakan teknologi AI yang dikenali dengan nama SARA iaitu singkatan kepada ‘Saya Antirasuah’, dalam mempromosikan mesej antirasuah secara rasmi di platform TikTok selaras dengan arus kemajuan teknologi semasa.
Malah, penggunaan AI dalam pengurusan media di Suruhanjaya ini juga telah mendapat pengikirafan apabila merangkul Anugerah Emas di The 5th ASEAN PR Excellence Awards 2025 bagi kategori Best Communication Use Of Social Media selain Anugerah Berlian bagi kategori Best Crisis Management dan Anugerah Emas bagi Best Government PR pada 7 Julai 2025.
Siasatan Lebih Pantas, Pencegahan Lebih Awal
Dengan penggunaan platform seperti Sentinel: Criminal Intelligence Analytics, tempoh siasatan juga kini boleh dipendekkan daripada bertahun-tahun kepada beberapa bulan sahaja. AI membolehkan penyiasat menapis data secara pintar dan memberi tumpuan kepada maklumat paling relevan.
Lebih penting, AI juga digunakan sebagai sistem amaran awal (early warning system) yang mampu mengesan gaya hidup mewah luar kebiasaan, menganalisis projek awam berisiko tinggi dan memberi isyarat awal kebarangkalian berlakunya penyelewengan sebelum jenayah rasuah itu terjadi.
Apabila AI digabungkan dengan teknologi blockchain, ia membuka ruang kepada ketelusan mutlak di mana setiap transaksi, pindahan dana dan perubahan dokumen direkodkan secara kekal serta tidak boleh diubah.
Kepintaran gabungan AI dan blockchain ini sangat berguna dalam sistem seperti perolehan awam, pembayaran projek infrastruktur serta pengagihan subsidi kepada golongan sasar agar tidak dimanipulasi pihak tertentu.
Atas faktor itu, gabungan penggunaan AI dan sistem digital ini dalam urusan khususnya yang melibatkan dana kewangan amat penting dalam mencegah jenayah rasuah daripada berlaku dan bukan sekadar untuk mengesan jenayah yang telah berlaku.
Ini kerana jenayah rasuah dalam era moden kini bukan lagi bersifat transaksi fizikal semata-mata, sebaliknya ia tersembunyi di sebalik mata wang kripto, komunikasi digital terenkripsi (encypted conversation) dan fail yang dimanipulasi secara digital.
Jadi, bagi melawan rasuah digital di alam maya ini, SPRM telah melengkapkan Bahagian Foresik Teknologi (BFT) dengan latihan serta kepakaran dalam bidang AI untuk mengesan, menjejak dan menganalisis bukti-bukti digital dari pelbagai sumber. Kepakaran dalam forensik AI ini juga telah mendapat akreditasi ISO 17025.
Namun, dalam keghairahan memanfaatkan teknologi digital dan AI, SPRM turut mengakui wujudnya risiko keselamatan dan kerahsiaan data yang perlu ditangani secara berhati-hati. Malah, ketergantungan berlebihan kepada sistem pintar tanpa semakan manusia boleh membuka ruang kepada keputusan salah tafsir algoritma yang boleh menjejaskan integriti siasatan.
Bagi mengatasi cabaran ini, SPRM memperkukuh kawalan dengan melaksanakan dasar governans data yang ketat, mekanisme semakan manusia secara berkala serta teknologi sistem perlindungan siber berlapis. Latihan seperti Modul Pengukuhan Governans, Integriti dan Antirasuah (MPGIA) dalam Strategi Pembaterasan Rasuah Nasional (NACS) adalah antara strategi memperkukuh integriti dan kompetensi pegawai sebagai teras penggunaan AI yang bertanggungjawab.
Natijahnya, AI bukan menggantikan manusia, tetapi memperkuat mereka yang berjuang menentang rasuah sekaligus mengekalkan keyakinan rakyat dan dunia terhadap komitmen negara membina pentadbiran yang telus, cekap dan bebas rasuah.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM
Merangkap Ketua Pegawai Maklumat (CIO) SPRM