fb fb fb fb fb

AI bantu teroka biodiversiti alam

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

Mungkin ramai tidak sedar bahawa Malaysia — sebagai sebahagian daripada zon tropika yang kaya dengan biodiversiti — memiliki warisan luar biasa yang juga rapuh. Dengan lebih daripada 15,000 spesies tumbuhan, lebih 700 spesies burung, dan ratusan spesies mamalia, serangga serta hidupan akuatik endemik, ekosistem kita adalah antara yang paling kaya dengan kepelbagaian spesies di dunia. Namun pada masa sama, ia semakin terancam oleh pembalakan, kehilangan habitat dan perubahan iklim.

Dalam menangani cabaran ini, kita memerlukan lebih daripada kepakaran ekologi semata-mata. Ia juga menuntut inovasi dalam cara kita mendidik generasi masa hadapan. Kecerdasan buatan (AI) kini muncul sebagai alat yang berpotensi besar dalam pemuliharaan. Langkah seterusnya adalah menyediakan pelajar untuk melibatkan diri secara bermakna dengan teknologi ini.

Pendidikan Asas Biodiversiti Melalui AI

Pada peringkat asas seperti di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM), pelajar diperkenalkan kepada konsep utama biodiversiti seperti taksonomi dan ekologi. Namun, topik-topik ini sering dirasakan jauh dan tidak relevan kepada kehidupan pelajar. Hampir setiap tahun, selepas kuliah tentang klasifikasi tumbuhan, ada yang bertanya, “Kenapa kami perlu hafal semua nama Latin yang pelik ini?”

Soalan ini mencerminkan isu lebih besar. Ramai pelajar hanya mengenali biodiversiti melalui buku teks, tetapi jarang sekali mengalami sendiri keindahan dan kompleksiti alam di luar dewan kuliah. Untuk mengatasi hal ini, kami sedang merancang inisiatif yang membawa pembelajaran ke kawasan hijau kampus, di mana pelajar dapat menggunakan aplikasi pengecaman berasaskan AI seperti Seek by iNaturalist atau PlantNet untuk mengenal pasti flora dan fauna tempatan.

Walaupun pendekatan ini masih dalam peringkat perancangan, kami percaya ia mampu mengubah tanggapan pelajar terhadap biodiversiti — daripada sekadar senarai istilah kepada pengalaman yang boleh dilihat, disentuh dan difahami secara kontekstual.

Pemerkasaan AI di Peringkat Ijazah

Di peringkat ijazah, penggunaan AI dalam pendidikan biodiversiti menjadi lebih ketara. Dalam dewan kuliah, platform seperti Elicit boleh membantu pelajar mengumpul dan menganalisis laporan pemuliharaan dari seluruh dunia, lalu menggalakkan mereka meneroka cabaran alam sekitar merentas geografi dan budaya.

Bagi projek tahun akhir, AI menambah nilai lebih jauh daripada sekadar pengecaman spesies. Model penterjemah seperti Google Translate dan DeepL membantu pelajar berinteraksi dengan komuniti setempat dan menggabungkan pengetahuan ekologi tradisional. Sementara itu, analitik berasaskan R atau SciKit-Learn (Python) digunakan untuk menganalisis data biodiversity, termasuk variasi morfologi, taburan spesies dan kesesuaian habitat.

Gabungan AI dan pengimejan satelit juga membantu pelajar memantau perubahan guna tanah. Misalnya dalam konteks pensijilan minyak sawit lestari atau pemetaan kawasan berisiko tinggi. Di sinilah pelajar belajar bahawa AI bukan hanya alat saintifik, tetapi juga berfungsi sebagai jambatan antara sains dan dasar, antara ekologi dan industri.

Membangun Kemahiran Masa Hadapan

Integrasi AI dalam pendidikan biodiversiti bukan sahaja memperkukuh pemahaman saintifik, tetapi juga meningkatkan kecekapan digital pelajar. Dalam dunia yang semakin dipacu oleh data, saintis masa depan perlu tahu bukan sahaja bagaimana untuk mengakses maklumat, tetapi bagaimana untuk menilainya, menganalisisnya dan menggunakannya dengan bertanggungjawab.

Malaysia tidak boleh terus menjadi pengguna pasif teknologi global. Kita memerlukan penyelidik muda yang mampu membina model, mengembangkan pangkalan data serantau dan mentafsir dapatan dalam konteks tempatan — baik dari segi ekologi mahupun budaya.

Sebagai pendidik, kami masih berada di peringkat awal dalam membina model pembelajaran berasaskan pengalaman yang diintegrasikan dengan teknologi. Namun arah tuju ini jelas; pendidikan biodiversiti perlu melangkaui hafalan, menuju kepada pendekatan yang praktikal, bersifat lokasi, dan diperkasa teknologi.

Anak muda Malaysia sebenarnya tidak kekurangan rasa ingin tahu. Apa yang mereka perlukan ialah peluang untuk meneroka, alat untuk menyelidik, dan bimbingan untuk menghubungkan sains dengan kehidupan sebenar. AI berpotensi menyokong aspirasi ini — asalkan digunakan secara bijak dan beretika.

Ingatlah, hutan, sungai dan hidupan liar kita bergantung bukan sahaja kepada dasar dan perlindungan, tetapi juga kepada pendidikan yang mampu membekalkan generasi seterusnya dengan kemahiran dan keberanian untuk bertindak.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

DR AHMAD HUSAINI SUHAIMI
Dr. Ahmad Husaini Suhaimi
Pensyarah Kanan
Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya (PASUM)
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

DR FIQRI DIZAR KHAIDIZAR
Dr. Fiqri Dizar Khaidizar
Pensyarah Kanan
CEBAR, Universiti Malaya
E-mel: Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

MAT YUNUS BIN SABRI