SAUDARA PENGARANG
Pilihan raya Presiden Amerika Syarikat yang berlangsung bulan November 2024 telah menyaksikan gandingan calon Parti Republikan, Donald Trump dan JD Vance mengalahkan gandingan Parti Demokratik, Kamala Harris dan Tim Walz. Kemenangan itu menyaksikan Trump dilantik sebagai Presiden ke-47 Amerika Syarikat dan Vance sebagai Naib Presiden.
Penyebaran kandungan “deepfake” sepanjang kempen
Dari sudut kajian media, banyak aspek yang boleh dijadikan tema penyelidikan sepanjang berlangsungnya pemilihan tersebut. Salah satunya adalah pemerhatian kepada penyebaran kandungan-kandungan berita “deepfake” atau palsu tulen yang dijana oleh kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI).
Isu berkaitan kandungan “deepfake” ini sangat penting kerana ia dianggap sebagai ancaman yang mampu menghakis kepercayaan awam dan menyukarkan orang ramai membandingkan kandungan yang tulen dengan palsu. Penggunaan teknologi AI Generatif mampu menghasilkan kandungan tidak asli tetapi mempunyai pemaparan menyamai kandungan asli.
“Deepfake” berasal dari terma pembelajaran mendalam (deep learning) dan palsu (fake) yang juga dikenali sebagai media sintetik yang dijana AI. Ia merujuk kepada salah satu kaedah pembelajaran mesin yang memungkinkan komputer mempelajari tugas-tugas yang disesuaikan dengan sifat manusia.
Kandungan “deepfake” yang dijana oleh teknologi AI ini mampu mencipta imej, video atau audio palsu kemudian disebarkan dengan pantas kepada orang ramai menggunakan platform digital. Kandungan palsu itu mudah diterima oleh orang ramai kerana digubah seolah-olah datang dari sumber yang sahih.
Ketika proses pemilihan Presiden Amerika Syarikat berlangsung, penyebaran kandungan “deepfake” ini berlaku dengan meluas. Antara kes yang terkenal adalah penyebaran rakaman suara menyerupai bekas Presiden Joe Biden atau dikenali sebagai “Biden Robocalls”. Menerusi rakaman itu, pengundi Demokratik telah diminta tidak mengundi ketika proses pemilihan negeri New Hampshire. Mesej yang disampaikan menerusi kandungan “deepfake” itu berbunyi, “Save your vote for the November election. Going out to vote this Tuesday only enables the Republican in their quest to elect Donald Trump again.” Penyebaran kandungan rakaman suara palsu ini dianggap antara kes paling menonjol ketika persaingan pemilihan presiden 2024 kerana menggunakan teknologi tiruan suara AI bagi menyerupai seorang tokoh politik yang berpotensi menjejaskan proses pilihan raya.
Selepas ia tular, pihak berkuasa New Hampshire mengesahkan rakaman suara itu sebagai kandungan “deepfake”. Pihak Federal Communications Commission (FCC) Amerika Syarikat pula mengisytiharkan bahawa perbuatan menghasilkan kandungan palsu berbentuk suara tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Pengguna Telefon negara itu. Kes berkenaan turut mencetuskan debat dan perbincangan mendalam mengenai ancaman kandungan AI Generatif yang menjejaskan integriti pilihan raya dan suara desakan mula kedengaran supaya aspek perundangan diperketat bagi menangani isu kandungan politik palsu yang dijana oleh AI.
Selain rakaman audio palsu, turut tersebar luas adalah imej-imej yang dijana oleh AI yang bertujuan memesongkan maklumat dan mempengaruhi pemikiran pengundi. Antaranya, imej Biden berpakaian tempur tentera. Imej ini dianggap mempunyai tujuan mengaitkan Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Biden dengan penglibatan tentera dalam konflik. Bagaimanapun, siasatan terperinci yang dilakukan terhadap imej ini mengesahkan ia adalah imej palsu yang dijana oleh AI kerana pakaian seragam tentera tidak konsisten dengan saiz fizikal Biden.
Imej palsu lain yang biasa disebarkan ketika pemilihan presiden adalah berkaitan jumlah kehadiran orang ramai ketika penganjuran rapat umum politik. Imej-imej berkaitan kehadiran penyokong ke rapat umum parti mempunyai dua tujuan. Pertamanya, mengubah imej bagi menunjukkan kehadiran yang rendah. Dan kedua, menghasilkan imej menggunakan teknologi AI bagi menunjukkan kehadiran yang tinggi penyokong dengan matlamat mempamerkan sokongan padu rakyat kepada parti politik tertentu. Bagaimanapun, hasil siasatan terhadap imej-imej sebegini mengesahkan ia adalah imej palsu yang disebarkan untuk tujuan politik.
Sepanjang kempen pemilihan 2024 ini juga, berlaku penyebaran imej-imej palsu calon bersama pemimpin asing di media sosial yang biasanya merupakan tokoh kontroversi. Imej ini dijana oleh AI direka bagi menjejaskan imej seseorang calon kerana mempunyai hubungan dengan pemimpin-pemimpin negara asing yang kontroversi. Bagaimanapun, hasil penelitian mendapati imej palsu berkenaan biasanya mengandungi kesalahan dari segi latar diplomatik atau elemen protokol yang mengesahkan lagi ia adalah imej palsu yang sengaja disebarkan bagi menjejaskan imej seseorang calon pilihan raya.
Taktik “deepfake” lain diguna untuk merosakkan reputasi lawan politik adalah dengan menyebarkan imej mereka terlibat dalam aktiviti negatif yang tidak sesuai dengan kedudukan atau perwatakan mereka. Penyebaran imej sedemikian dikesan begitu meluas berlaku sepanjang kempen pemilihan Presiden Amerika Syarikat tahun lalu. Taktik ini direka khusus bagi memusnahkan reputasi seseorang calon atau pemimpin.
Selain itu, penjanaan imej AI melibatkan kehadiran calon pilihan raya ke majlis yang kontroversi juga menjadi taktik berkesan untuk menjejaskan undi kepada calon pemilihan di Amerika Syarikat. Kebiasaannya ia melibatkan imej berkaitan peristiwa bersejarah yang mempunyai kaitan rapat dengan sentimen pengundi. Bagaimanapun, selepas penelitian, terdapat elemen-elemen anakronisme iaitu kesilapan meletakkan imej seseorang tokoh dengan peristiwa yang berlaku di era yang salah atau tidak menepati zaman yang sekaligus mengesahkan imej-imej tersebut adalah palsu dan dijana menggunakan AI Generatif.
Kes-kes berkaitan imej, video dan rakaman audio palsu ini semakin meningkat selari dengan perkembangan teknologi digital khususnya AI. Cabaran utama dihadapi pengguna teknologi adalah mengesan perbezaan kandungan tulen atau palsu. AI seperti teknologi moden lain, ia boleh membawa banyak manfaat jika digunakan dengan bijak dan menjadi bahaya jika disalahguna. Dalam konteks politik, penyebaran kandungan “deepfake” menjadi salah satu strategi politik yang perlu dibendung bukan sahaja oleh pihak berkuasa tetapi pengguna itu sendiri.
Pengajaran daripada pemilihan Presiden Amerika Syarikat 2024
Pemilihan Presiden Amerika Syarikat 2024 bukan sekadar mencorakkan landskap politik negara kuasa besar itu. Penyebaran kandungan palsu tulen yang meluas memperlihatkan kepada komuniti global bagaimana teknologi moden AI dan platform digital digunakan bukan sahaja untuk berkempen tetapi sebagai alat berkesan mengelirukan pengundi menggunakan kandungan-kandungan palsu. Kandungan itu bukan sahaja mempengaruhi tingkah laku pengundi tetapi juga persepsi mereka terhadap calon-calon bertanding dalam skala besar yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Salah satu pengajaran daripada pemilihan ini ialah bagaimana kandungan palsu boleh memberi kesan langsung terhadap proses demokrasi. Di Amerika Syarikat, kandungan palsu yang berbentuk berita rekaan, video manipulatif dan imej “deepfake” disebarkan dengan meluas menjelang hari pengundian. Kandungan sebegini bukan sahaja menyebarkan maklumat tidak benar mengenai calon-calon, malah turut menyentuh isu-isu sensitif seperti agama, kaum dan imigresen bagi mencetuskan emosi dan mengalih perhatian pengundi daripada isu dasar yang sebenar.
Teknologi AI yang semakin canggih memudahkan penciptaan kandungan tampak realistik termasuk suara dan wajah tokoh politik yang kelihatan seolah-olah mereka mengeluarkan kenyataan tertentu walaupun tidak pernah melakukannya. Ini menimbulkan ancaman besar kepada integriti maklumat dalam ruang awam. Dalam konteks pilihan raya, pembohongan sedemikian boleh menyemai kekeliruan, mencetuskan perpecahan dan menghakis kepercayaan terhadap institusi demokrasi.
Di Amerika Syarikat, beberapa agensi pemantau bebas dan media utama mendapati peningkatan mendadak jumlah kandungan tidak sahih yang tular di media sosial menjelang hari pengundian. Banyak daripada kandungan ini dijana oleh AI yang diuruskan oleh entiti berkepentingan politik, sama ada dari dalam atau luar negara.
Apabila kandungan palsu tersebar secara sistematik dan berterusan, ia boleh menyebabkan ketidakyakinan terhadap hasil pilihan raya. Terdapat laporan mengenai sebahagian rakyat Amerika yang mula meragui ketelusan sistem pilihan raya mereka sendiri, walaupun ia antara sistem paling maju dan telus di dunia. Keyakinan terhadap institusi berkaitan proses pilihan raya, media arus perdana serta badan kehakiman boleh terhakis apabila maklumat palsu dilihat lebih dipercayai berbanding sumber rasmi.
Jika situasi ini dibiarkan berlarutan, demokrasi akan terjejas untuk jangka masa panjang. Pemimpin dipilih melalui proses yang diragui tidak akan mempunyai keabsahan sepenuhnya, manakala rakyat akan menjadi semakin sinis terhadap proses pilihan raya itu sendiri. Lebih buruk, ini membuka ruang kepada pihak-pihak ekstremis untuk memanipulasi ketidakpercayaan tersebut bagi tujuan politik atau ideologi lebih radikal.
Pengajaran lain yang boleh diambil daripada pemilihan Presiden Amerika Syarikat ini adalah kepentingan memperkukuh aspek celik media dan digital dalam kalangan rakyat khususnya pengguna platform media sosial. Celik media dan digital ini merangkumi keupayaan individu untuk mengenal pasti maklumat palsu, memahami konteks berita, menilai kredibiliti sumber dan tidak mudah terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan di media sosial.
Selain itu, tanggungjawab mengekang penyebaran maklumat palsu tidak boleh digalas oleh satu pihak sahaja. Kerajaan, institusi media, penyedia platform digital serta pembangun teknologi AI, organisasi masyarakat sivil dan rakyat perlu memainkan peranan masing-masing. Kerjasama strategik perlu diwujudkan untuk membangunkan sistem pemantauan kandungan yang berkesan, dasar kawal selia yang progresif, serta pelaporan berita bertanggungjawab dan telus.
Kandungan “deepfake” bukan sahaja mencemari proses pemilihan di Amerika Syarikat tetapi penyebaran kandungan palsu tulen turut berlaku ketika proses pilihan raya Parlimen Eropah 2024 melibatkan anggota Kesatuan Eropah (EU) dan negara-negara lain yang mengadakan pilihan raya tahun pada tahun lalu. Situasi ini membayangkan ancaman “deepfake” ini akan terus meningkat setiap tahun selari dengan pembangunan teknologi AI yang lebih canggih.
Pengalaman-pengalaman berhadapan kandungan “deepfake” ini wajar dijadikan iktibar kepada komuniti antarabangsa termasuk Malaysia. Ancaman maklumat palsu dan kandungan manipulasi AI tidak boleh dipandang ringan terutama menjelang musim pilihan raya.
Ia memberi gambaran jelas bahawa dalam dunia digital yang serba pantas, maklumat boleh menjadi senjata yang sangat berkuasa sama ada digunakan untuk kebaikan atau keburukan. Justeru, pengurusan maklumat perlu menjadi salah satu teras utama dalam mempertahankan sistem demokrasi. Fenomena di mana demokrasi yang memusnahkan demokrasi itu sendiri wajar ditangani segera.
Tindakan yang boleh diambil bukan hanya tertumpu kepada merangka dasar atau membina satu sistem kawal selia tetapi turut membina kesedaran, kecelikan dan ketahanan minda rakyat supaya mereka tidak mudah dimanipulasi oleh kandungan palsu.
Usaha ini bukan sahaja membina rakyat yang lebih harmoni tetapi turut memelihara sistem demokrasi agar terus berkembang dalam ekosistem yang telus, adil dan berasaskan kebenaran.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.
Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad
Dekan Pusat Pengajian Teknologi
Multimedia dan Komunikasi (SMMTC)
Universiti Utara Malaysia (UUM)
E-mel: