
HULU DUNGUN, 30 Ogos – Seorang wanita warga emas mati lemas ketika bercuti bersama keluarga di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu, semalam.
- Bot fiber yang dinaiki terlanggar tunggul kayu lalu terbalik.
- Mangsa terlingkup di bawah bot dan berjaya dikeluarkan oleh ahli keluarga.
- CPR dilakukan namun mangsa tidak memberi tindak balas; dibawa ke daratan dengan bantuan PERHILITAN.
- Polis sahkan tiada unsur jenayah dan PDRM menasihatkan orang ramai utamakan keselamatan perairan.
Kejadian berlaku selepas bot fiber yang dinaikinya bersama tiga yang lain terlanggar tunggul kayu lalu terbalik.
Menurut Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian tersebut.
“Mangsa Wan Esah Wan Daud, 63 tahun terlingkup di bawah bot sebelum berjaya dikeluarkan ahli keluarganya.
“Anak sulung mangsa, Azamie Ab Rahim memaklumkan mangsa yang berasal dari Gua Musang, Kelantan, dipercayai mempunyai sejarah penyakit paru-paru,
kencing manis dan darah tinggi.
“Bantuan CPR turut dilakukan, namun mangsa tidak menunjukkan sebarang tindak balas.
“Mangsa kemudiannya dibawa ke daratan dengan bantuan bot Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 6.45 petang,” katanya menerusi kenyataan.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan agar orang ramai mengutamakan keselamatan ketika melakukan aktiviti di kawasan perairan.