
KUANTAN, 18 Februari – Lelaki yang dipercayai menikam sehingga menyebabkan kematian empat ahli keluarganya di Cerating di sini disyaki mengalami tekanan mental dan emosi.
- Suspek disyaki mengalami tekanan mental dan emosi berdasarkan perubahan tingkah laku selepas berpindah ke Pahang.
- Tindakan keganasan melibatkan isteri, ibu dan dua anak, diikuti cubaan bunuh diri oleh suspek sendiri.
- Motif awal dipercayai berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi pasangan suami isteri.
- Suspek tiada rekod rawatan mental atau kesalahan lampau; baru bekerja sebagai pengawal keselamatan selepas berpindah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Ashari Abu Samah berkata perkara itu disokong keterangan berhubung perubahan tingkah laku suspek yang didakwa pelik sejak berpindah ke Pahang.
Menurut beliau, suspek sebelum ini menetap di Kapar, Klang, Selangor dan tiada sebarang rekod rawatan mental mahupun rekod kesalahan lampau.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati suspek menikam isterinya terlebih dahulu, kemudian ibunya dan seterusnya mengelar dua anaknya sebelum bertindak menikam lehernya sendiri,” katanya.
Motif awal kejadian dipercayai berpunca daripada masalah kewangan yang dihadapi suspek dan isterinya.
Media sebelum ini melaporkan lima sekeluarga ditemukan maut di sebuah rumah di Cerating. Suspek dilaporkan berhenti kerja di Selangor sebelum berpindah ke Kuantan sebulan lalu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan sejak awal bulan ini.