Tragedi bunuh lima sekeluarga : Mayat kanak-kanak dua tahun dibedah siasat pada hari lahir

Petugas media berkumpul di hadapan bilik mayat HTAA

KUANTAN, 18 Februari – Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang maut bersama empat ahli keluarganya dalam kejadian di sebuah rumah di Cerating di sini, dibedah siasat hari ini yang juga merupakan hari lahirnya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mayat ditemui dengan kecederaan tikaman dan kelaran pada beberapa ahli keluarga termasuk kanak-kanak dan nenek mereka.
  • Polis merampas sampel darah dari pelbagai lokasi rumah dan menemui sebilah pisau di bawah mayat lelaki.
  • Kes disiasat sebagai kejadian bunuh dan bunuh diri, dengan bedah siasat dijalankan ke atas semua mangsa.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Penolong Pesuruhjaya Polis ACP Ashari Abu Samah berkata, mangsa, Nur Sumayyah Humairah ditemukan dengan kesan tikaman di bahagian dada, belakang telinga dan leher.

Menurut beliau, kakaknya, Nur Saffiyah Humairah, lima tahun, mengalami kesan tikaman di dagu dan belakang telinga, manakala nenek mereka, Tuan Kamaria Tuan Puteh, 56 tahun, ditikam pada tangan kiri serta dikelar pada pergelangan tangan dan telinga.

Terdahulu, pada Selasa bedah siasat turut dijalankan terhadap pasangan suami isteri terbabit. Nurul Asshiykin Kamaruzzaman, 33 tahun, ditemukan dengan kesan tikaman di kedua-dua tangan serta kelaran di leher, manakala suaminya mengalami kesan tikaman di leher.

Polis turut merampas sampel swab darah di beberapa lokasi dalam rumah termasuk lantai, dapur, bilik dan pintu, selain menemui sebilah pisau di bawah badan lelaki berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan lima sekeluarga ditemukan maut, dipercayai lelaki terbabit membunuh empat ahli keluarganya sebelum menikam diri sendiri.