
SUNGAI PETANI, 26 Februari – Tiga warga asing termasuk seorang wanita ditahan kerana dipercayai menyalahgunakan pas lawatan kerja dengan mengutip derma daripada orang awam di tapak Bazar Ramadan Wisma Ria, petang semalam.
- Serbuan dilakukan oleh Task Force Balai Polis Sungai Petani sekitar pukul 6.30 petang selepas menerima maklumat.
- Suspek mengutip derma menggunakan bekas bertulis bagi kononnya pembinaan madrasah tahfiz dan wakaf tapak masjid.
- Polis merampas hampir RM300 tunai dipercayai hasil kutipan derma di lokasi.
- Mereka disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen dan Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata, suspek terdiri daripada dua lelaki warga Thailand berusia 27 dan 23 tahun serta seorang wanita etnik Rohingya dari Myanmar berusia 39 tahun.
Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Task Force Balai Polis Sungai Petani melakukan serbuan di bazar berkenaan kira-kira pukul 6.30 petang.
Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek sedang mengutip derma menggunakan bekas bertulis permohonan sumbangan bagi pembinaan madrasah tahfiz anak yatim serta wakaf tapak masjid.
Polis turut merampas wang tunai hampir RM300 dipercayai hasil kutipan derma tersebut.
Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek memiliki dokumen perjalanan yang sah namun dipercayai melanggar syarat pas yang diberikan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 kerana melanggar syarat pas atau permit, yang memperuntukkan denda sehingga RM10,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.
Mereka turut disiasat di bawah Seksyen 27(c) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100 atau penjara sehingga sebulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.