
PERLIS, 23 Februari – Cubaan menyeludup kira-kira 50 kilogram (kg) ganja bernilai RM150,000 melalui laluan laut digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di pesisir pantai Kuala Perlis, awal pagi semalam.
- Maritim Malaysia menemui tiga guni berisi 49 ketulan daun kering mampat disyaki ganja ketika rondaan pantai.
- Nilai anggaran rampasan dianggarkan RM150,000 dan cuba diseludup melalui laluan laut untuk pasaran tempatan.
- Ini tangkapan pertama 2026 dan kali ke-11 dalam lima tahun, menunjukkan lokasi itu menjadi tumpuan penyeludupan.
- Maritim akan mempertingkat rondaan, pengawasan perairan dan perkongsian risikan dengan agensi penguatkuasa lain.
Rampasan dibuat anggota Zon Maritim Kuala Perlis ketika rondaan Op Aman dan Op Tiris 3.0 selepas menerima maklumat mengenai objek mencurigakan yang terdampar di pantai.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata hasil pemeriksaan menemukan tiga guni berisi 49 ketulan daun kering mampat disyaki ganja.
“Tangkapan kali ini merupakan yang pertama bagi tahun 2026 dan kali ke-11 dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
“Berdasarkan statistik, lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan terutama di sempadan,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis, di sini hari ini.
Beliau berkata dadah itu dipercayai cuba diseludup masuk melalui laluan laut sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.
Maritim Malaysia akan mempertingkat rondaan serta pengawasan di perairan Kedah dan Perlis selain memperkukuh perkongsian risikan bersama agensi penguat kuasa lain bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah di negara ini.