Sindiket edar dadah tumpas, dadah bernilai RM1.24 juta dirampas

Sindiket edar dadah tumpas, dadah bernilai RM1.24 juta dirampas./GAMBAR FAIL

JOHOR BAHRU, 2 APRIL – Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tujuh individu termasuk dua warga asing dalam dua serbuan berasingan di
sekitar Seri Alam dan Johor Bahru pada 30 hingga 31 Mac lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dadah jenis ekstasi bernilai RM1.24 juta dirampas; turut disita dua kereta, sebuah motosikal dan wang tunai RM58,553.
  • Sindiket dipercayai aktif sejak Oktober lalu, menggunakan apartment "gated and guarded" sebagai lokasi simpan dan pembungkusan semula sebelum diedarkan.
  • Enam suspek positif Methamphetamine, seorang positif Benzodiazepine; semua ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam serbuan itu, sebanyak RM1.24 juta dadah jenis ekstasi dirampas selain turut disita dua buah kereta, sebuah motosikal dan wang tunai membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM58,553.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk A B Rahaman Arsad, suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan, seorang lelaki warga Singapura serta dua wanita masing-masing warga tempatan dan Vietnam, berusia antara 31 hingga 60 tahun.

Saringan awal mendapati enam suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan seorang suspek positif dadah jenis Benzodiazepine.

Sindiket dipercayai aktif sejak Oktober tahun lalu dan modus operandi menjadikan apartment “gated and guarded” sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan semula dadah sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut hingga 6 April ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.