Polis tahan pemandu mabuk rempuh palang keselamatan Istana Negara

Keadaan di Pintu 2 Istana Negara awal pagi tadi/Foto PDRM

KUALA LUMPUR, 23 Januari Polis menahan seorang pemandu mabuk selepas merempuh palang keselamatan di Pintu 2 Istana Negara, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemandu berusia 21 tahun ditahan selepas merempuh palang keselamatan di Pintu 2 Istana Negara.
  • Tiada kecederaan dilaporkan, hanya kerosakan pada bahagian depan kereta, bollard pole dan barrier gate.
  • Ujian pernafasan menunjukkan tahap alkohol 166 mg per 100 ml darah, melebihi had ditetapkan.
  • Kertas siasatan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya; pemandu akan dituduh di Mahkamah Majistret Jalan Duta.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 pagi , selepas kereta yang dipandu lelaki berusia 21 tahun itu datang dari arah Bukit Damansara.

“Tiada kecederaan dilaporkan oleh pemandu kereta atau mana-mana pihak lain. Kemalangan melibatkan kerosakan pada bahagian depan kereta dan ‘Bollard Pole‘ dan ‘Barrier Gate‘,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Beliau berkata, pihak polis turut menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam percakapan pemandu serta menjalankan ujian pernafasan.

“Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu adalah 166 miligram per 100 mililiter darah, melebihi had yang ditetapkan,” katanya.

Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan mengarahkan supaya pemandu dituduh mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret (13) Kuala Lumpur, Jalan Duta, pagi ini.