Polis buru suspek samun farmasi di Kuala Kedah

Sebuah farmasi di Kuala Kedah disamun pada Sabtu

ALOR SETAR, 8 Mac- Seorang pembantu kedai berdepan detik cemas selepas disamun seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging di sebuah farmasi di Taman Bersatu, Kuala Kedah, pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.56 pagi ketika mangsa sedang bersiap membuka kedai.
  • Suspek berpakaian jaket dan seluar hitam, memakai pelitup muka, kaca mata hitam dan topi; membeli ubat, bayar RM10 kemudian keluarkan pisau.
  • Suspek mengambil kira-kira RM250 dari mesin wang sambil mengacukan pisau; polis memburu dan kes disiasat di bawah Seksyen 392, 397.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 8.56 pagi ketika mangsa sedang bersiap membuka kedai.

Katanya, seorang lelaki berpakaian jaket dan seluar slack hitam, memakai pelitup muka, kaca mata hitam dan topi mendekati kaunter untuk membeli ubat selesema sebelum menyerang mangsa.

Suspek menyerahkan RM10 bagi bayaran ubat sebelum secara tiba-tiba mengeluarkan pisau dan mengancam mangsa.

“Secara tiba-tiba suspek mengeluarkan sebilah pisau pemotong daging dari dalam jaket dan meminta mangsa membuka mesin wang.

“Suspek masuk di kawasan kaunter dan mengambil wang permulaan niaga kira-kira RM250 sambil mengacukan pisau kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan.

Syed Basri berkata pihaknya kini sedang memburu suspek dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.