Pesara, bekas pengerusi kuil didakwa kemuka tuntutan palsu RM50,000

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam berasingan.

SHAH ALAM, 6 April – Seorang pesara kerajaan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan invois palsu berjumlah RM50,000 bagi tuntutan berkaitan perkhidmatan perundingan kelulusan kerja-kerja pembaikan sebuah kuil di daerah Petaling, lima tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dengan hukuman di bawah Seksyen 465 jika sabit kesalahan.
  • Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 bagi Thiruselvam dan RM15,000 bagi Selvam serta menetapkan sebutan semula 11 Mei.
  • Syarat tambahan termasuk penyerahan pasport, lapor diri setiap bulan dan larangan mengganggu saksi; kes akan dibicarakan di hadapan hakim sama.

M. Thiruselvam, 65 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen invois palsu bernilai RM50,000, bagi perkhidmatan perundingan berkaitan kelulusan kerja-kerja pembaikan sebuah kuil di daerah Petaling yang diserahkan kepada setiausaha kuil berusia 64 tahun pada 22 Nov 2021 di premis kuil berkenaan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, bekas pengerusi kuil berkenaan P. Selvam, 70 tahun, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan berhubung tuntutan sama yang didakwa dilakukan pada tarikh dan lokasi sama.

Selvam yang didakwa mengikut seksyen sama dibenarkan ikat jamin RM15,000 oleh Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mahkamah turut membenarkan permohonan memindahkan kes itu untuk dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir pada tarikh sama, 11 Mei depan.

Kedua-dua mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri pada minggu pertama setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Prosiding dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Muhammad Arif Asyraf Mohd Khairi, Thiruselvam diwakili peguam N. Lalitha manakala Selvam diwakili peguam M. Segaran.