Penunggang motosikal maut bertembung lori di Julau

Lelaki berusia 59 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala/Foto Polis Julau

JULAU, 9 Mac – Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam nahas jalan raya dengan sebuah lori di Jalan Pakan berhampiran Simpang Wak di sini pada Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penunggang motosikal berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
  • Lori dalam perjalanan dari arah Bintangor cuba mengelak selepas motosikal dipercayai memasuki laluan lori secara tiba-tiba.
  • Motosikal melanggar tayar belakang kiri lori lalu terbabas ke bahu jalan; pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Mangsa berusia 59 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, sebuah lori dalam perjalanan dari arah Bintangor menuju ke Pakan.

“Apabila tiba di lokasi kejadian berhampiran Simpang Wak di Jalan Pakan, sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai secara tiba-tiba memasuki laluan lori berkenaan.

“Pemandu lori cuba mengelak namun motosikal tersebut melanggar bahagian tayar belakang kiri lori sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, akibat perlanggaran itu penunggang motosikal mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Pakan.

Tambahnya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.