
SEREMBAN, 8 April – Seorang penjawat awam direman empat hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM5,000 bagi memudahkan urusan tuntutan bayaran projek.
- Perintah reman sehingga 11 April dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan SPRM.
- Suspek lelaki lingkungan 40-an ditahan kira-kira pukul 5.50 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
- Wang berkenaan dipercayai balasan untuk memudahkan tuntutan bayaran interim kerja-kerja pemuliharaan sebuah bangunan sekolah.
- Pengarah SPRM Negeri Sembilan mengesahkan penahanan; kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Perintah reman sehingga 11 April itu dikeluarkan Majistret Sara Afiqah Zulkifli selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Seremban, pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 40-an ditahan kira-kira pukul 5.50 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Negeri Sembilan.
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sekitar Jun 2024 dengan menerima wang rasuah secara tunai dalam mata wang Euro berjumlah kira-kira €1,000 daripada seorang pengarah projek sebuah syarikat.
Wang berkenaan dipercayai sebagai balasan untuk memudahkan urusan tuntutan bayaran interim bagi kerja-kerja pemuliharaan bangunan sebuah sekolah.
Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Awgkok Ahmad Taufik Putra Awg Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.