Pengurus syarikat, dua penjawat awam ditahan reman kemuka tuntutan palsu

LABUAN, 7 Januari – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan menahan reman seorang pengurus syarikat dan dua penjawat awam kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi membekal makanan tahanan di salah sebuah jabatan penguatkuasaan di sini.

RINGKASAN BERITA AI
  • SPRM Labuan memperoleh perintah reman lima hari terhadap tiga suspek sehingga 11 Januari 2026.
  • Seorang pengurus syarikat didakwa membuat tuntutan palsu membekal makanan tahanan antara April hingga Julai 2025.
  • Jumlah tuntutan palsu dilaporkan sekitar RM40,000.
  • Dua penjawat awam dipercayai bersubahat dan menerima wang tunai sebagai habuan.
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Perintah reman selama lima hari sehingga 11 Januari 2026 dikeluarkan Hakim Majistret Dr. Melissa Chia selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Labuan pagi tadi.

Menurut kenyataan SPRM Labuan, ketiga-tiga Orang Yang Disyaki (OYDS) iaitu seorang lelaki merupakan pengurus syarikat dan dua wanita merupakan penjawat awam berumur lingkungan 31 hingga 43 tahun telah ditahan petang semalam.

“Pengurus syarikat berkenaan ditahan kerana membuat tuntutan palsu antara April hingga Julai 2025 dengan jumlah keseluruhan lebih kurang RM40,000.

“Dua penjawat awam yang berkhidmat di bahagian kewangan jabatan itu ditahan kerana disyaki bersubahat dalam proses memperakukan tuntutan palsu tersebut dengan mendapat habuan berupa wang tunai daripada pengurus syarikat,” menurut kenyataan itu.

Ketiga-tiga OYDS disiasat bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.