Penganggur mengaku tidak bersalah miliki 498kg minyak masak paket

Tertuduh ditahan dalam satu Sekatan Jalan Raya (SJR) di Chuping pada 25 Mei 2025

KANGAR, 2 April – Seorang penganggur mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Majistret Kangar atas pertuduhan memiliki barang kawalan bersubsidi iaitu 498 kilogram minyak masak paket satu kilogram.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tertuduh, seorang penganggur, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan atas pertuduhan memiliki minyak masak bersubsidi.
  • Pihak berkuasa mendakwa dia memiliki 498 kilogram minyak masak paket tanpa lesen di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
  • Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN dan mahkamah tetapkan sebutan semula pada 7 dan 8 Julai.

Tertuduh Mustaqim Aiman Mahadzir, 30 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, pada 25 Mei 2025 kira-kira jam 10.50 malam, ketika melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) di KM 24 Chuping, pihak berkuasa menemui 498 kilogram minyak masak paket dalam kenderaan dipandu tertuduh.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki minyak masak secara runcit tanpa lesen.

Kesalahan dilakukan tertuduh di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nik Nor Aziera Che Mohammad Asri.

Mahkamah menetapkan 7 dan 8 Julai depan untuk sebutan semula kes.