Pemandu treler terlibat nahas maut didakwa bunuh tiga sekeluarga

Tertuduh, Muhamad Shafiq Salleh, 29, ketika hadir di Mahkamah Majistret, di sini / BERNAMA

SEGAMAT, 7 April– Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan mengorbankan tiga sekeluarga di Segamat, Khamis lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Segamat atas tiga pertuduhan membunuh.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tiada pengakuan direkodkan kerana kes berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
  • Tertuduh tidak diwakili peguam dan Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan.
  • Sebutan ditetapkan pada 21 Mei untuk serahan laporan patologi, PUSPAKOM, kimia dan forensik.

Tertuduh, Muhamad Shafiq Salleh, 29, mengangguk faham sebaik sahaja ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Amalina Johar.

Tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes ini berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh S. Palamiandy, 77 tahun, K. Myakrishnan, 72 tahun dan S. Sevendai, 62 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru–Seremban, pada pukul 3.50 petang, 2 April lalu.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur ‘Aina Muhammad Ismail Tadj, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan.

Sebutan kes ditetapkan pada 21 Mei depan bagi serahan laporan patologi, PUSPAKOM, kimia dan forensik.

Dalam kejadian Khamis lalu, tiga sekeluarga maut dalam nahas ngeri membabitkan tiga kenderaan dekat Simpang Taman Golden Hill, Gemas Baru, di sini.

Nahas berlaku kira-kira 200 meter dari rumah mangsa.