
KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Tujuh daripada 10 kematian direkodkan di Terengganu sepanjang 14 hari pelaksanaan Op Hari Raya Aidilfitri 2026 (OP HRA 2026) membabitkan penunggang motosikal.
- Jumlah kematian meningkat kira-kira 43 peratus berbanding tahun sebelumnya.
- Trend kemalangan keseluruhan mencatat penurunan sekitar 15 peratus berbanding tahun lalu.
- Analisis mendapati kebanyakan maut berlaku dalam keadaan jalan dan cuaca baik, menunjukkan kecuaian pemandu; tumpuan kepada penunggang bawah umur dan 12 motosikal disita.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu Mohd Zamri Samion memberitahu jumlah kematian dicatatkan pada operasi tahun ini menunjukkan peningkatan sekitar 43 peratus berbanding tujuh kematian pada tahun lepas.
Bagaimanapun menurut beliau, trend kemalangan sepanjang operasi khas itu merekodkan penurunan sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Jelas Mohd Zamri, analisis dijalankan mendapati kebanyakan insiden maut berlaku dalam keadaan jalan dan cuaca yang baik serta trafik lancar sekali gus menunjukkan faktor utama bukan keadaan jalan sebaliknya kecuaian pemandu.
“Selain itu, dalam operasi motosikal yang dijalankan hari ini, kita mendapati terdapat kes melibatkan penunggang bawah umur yang pernah ditahan sebelum ini. Ia menunjukkan kes berulang,” jelasnya kepada media pada Penutup OP HRA 2026 di sini.
Mohd Zamri memberitahu dalam operasi berkenaan, sebanyak 12 buah motosikal disita pihaknya kerana lesen kenderaan tamat tempoh sambil menambah pihaknya memberi tumpuan terhadap pengendali motosikal yang menjadi punca utama kemalangan di negeri berkenaan.