Op Cegah Khas: Pasangan warga emas antara 1,209 individu positif dadah

Foto AADK

KUANTAN, 7 Ogos – Sepasang suami isteri warga emas berusia 64 dan 59 tahun antara 1,209 individu yang didapati positif dadah menerusi Operasi Cegah Khas Bilangan 1 Tahun 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi serentak di 14 negeri (4 hingga 6 Ogos) menahan 1,606 individu.
  • Kumpulan 19 hingga 40 tahun adalah paling ramai ditahan, merekodkan 716 kes, diikuti 41 hingga 50 tahun sebanyak 325 orang.
  • Syabu paling dominan dengan 799 kes (66.1%), diikuti opiat 192 kes dan ganja 52 kes.

Pasangan itu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di kediaman mereka di Taman Seri Mahkota Aman, Batu 11, Jalan Gambang.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Mahadzir Elias berkata, secara keseluruhan, 1,606 individu ditahan dalam operasi yang dijalankan serentak di 14 negeri dari 4 hingga 6 Ogos lalu.

“Kumpulan yang terbesar terlibat adalah yang berusia antara 19 hingga 40 tahun. Ini trend sepanjang operasi yang kita laksanakan tahun ini, memang melibatkan kumpulan inilah yang terbesar.

“Dalam operasi kali ini pun menunjukkan data yang sama iaitu seramai 716 orang. Manakala bagi mereka yang berusia antara 41 hingga 50 tahun, kita juga bimbang kerana data yang kita terima adalah seramai 325 orang telah ditahan,” katanya.

Syabu terus menjadi dadah paling dominan dengan 799 kes atau 66.1 peratus, diikuti opiat sebanyak 192 kes dan ganja, 52 kes.

Di Pahang, seramai 254 individu ditahan dengan 191 didapati positif dadah atau bahan, termasuk 131 penagih baharu.

Kuantan merekodkan tangkapan tertinggi dengan 67 individu, diikuti Rompin sebanyak 28 orang.

AADK Pahang turut memberi tumpuan di kawasan FELDA apabila 66 individu dari enam daerah didapati positif dadah.

Selain itu, 12 individu ditahan di Rancangan Pengumpulan Semula Runchang susulan aduan berkaitan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang dalam komuniti Orang Asli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.