Maritim Pahang tahan bot kelas C ceroboh zon tangkapan ikan

FOTO RTM

KUANTAN, 6 April — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana disyaki menangkap ikan di kawasan larangan di perairan Kuantan, tengah malam semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bot dikesan menangkap ikan kira-kira 7.0 batu nautika timur Tanjung Agas, kurang daripada 12 batu nautika, melanggar syarat lesen.
  • Tujuh kru warganegara Vietnam termasuk tekong, berusia antara 19 hingga 40 tahun berada di atas bot.
  • Anggaran 300 kilogram hasil laut disita; bot, kru dan tangkapan dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk siasatan di bawah Akta Perikanan dan Imigresen.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata bot tersebut dikesan sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan pada kedudukan kira-kira 7.0 batu nautika di timur Tanjung Agas.

Beliau berkata kedudukan tersebut didapati melanggar syarat lesen kerana berada kurang daripada 12 batu nautika dari pantai.

“Bot tersebut ditahan pada pukul 12.15 pagi oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan rutin di bawah operasi penguatkuasaan di perairan negara.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh kru warganegara Vietnam termasuk tekong berusia antara 19 hingga 40 tahun berada di atas bot berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata pihak penguatkuasa turut menyita hasil laut yang dianggarkan seberat 300 kilogram yang dipercayai baru sahaja ditangkap oleh bot berkenaan.

Menurut beliau, bot bersama kesemua kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut dan siasatan oleh pegawai penyiasat.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Akta Imigresen 1959/63.