Lelaki mengaku tidak bersalah ceroboh tanah persendirian

Foto RTM

SEPANG, 9 Februari -Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menceroboh tanah persendirian di Jalan Selangor Dredging, Dengkil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengawal keselamatan, M Paramaguru, mengaku tidak bersalah atas dakwaan menceroboh tanah persendirian.
  • Kejadian didakwa berlaku di Jalan Selangor Dredging, Dengkil pada 19 Jun 2025 sekitar jam 4.45 petang.
  • Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara atau denda jika sabit.
  • Majistret benarkan ikat jamin RM4,000; sebutan semula kes ditetapkan 12 Mac dan dokumen perlu diserahkan.

M Paramaguru, 49 tahun, yang juga pengerusi di sebuah kuil, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan tanah milik Suhaili Ahmad tanpa kebenaran pada 19 Jun 2025, kira-kira pukul 4.45 petang.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda hingga RM3,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Majistret Khairatul Animah Jelani membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dan menetapkan 12 Mac untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim manakala tertuduh diwakili peguam H Darshela.