Lelaki maut dalam nahas tiga kenderaan di Permyjaya

FOTO IPD MIRI

MIRI, 4 April – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua motosikal di Jalan Indah 2, Permyjaya, pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kejadian dipercayai berlaku apabila pacuan empat roda memasuki laluan bertentangan.
  • Dua penunggang motosikal tempatan berusia 21 dan 32 tahun terlibat dalam perlanggaran.
  • Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi; seorang lagi dan pemandu tidak cedera.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu melibatkan dua lelaki tempatan berusia 21 dan 32 tahun yang menunggang motosikal masing-masing.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dipandu lelaki tempatan berusia 45 tahun memasuki laluan bertentangan.

“Kenderaan tersebut dipercayai dalam perjalanan dari tempat kerja di Miri Port menuju ke kediamannya di Desa Pujut 2, Permyjaya sebelum terlibat dalam perlanggaran dengan dua motosikal di Jalan Indah 2,” katanya dalam kenyataan media.

Akibat perlanggaran itu, salah seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi penunggang motosikal serta pemandu pacuan empat roda dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.