Ketua PAS Sungai Buloh didakwa sertai perhimpunan menyalahi undang-undang

Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad (kiri) hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang ketika operasi pengosongan Kampung Sungai Baru, tahun lepas/Bernama

KUALA LUMPUR, 5 Januari- Ketua PAS Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang ketika operasi pengosongan Kampung Sungai Baru, tahun lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zaharudin dan tujuh individu didakwa menyertai perhimpunan menentang notis pengosongan Kampung Sungai Baru.
  • Tuduhan dibuat mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara atau denda jika sabit kesalahan.
  • Majistret membenarkan jaminan RM2,000 dengan dua penjamin; sebutan kes ditetapkan 24 Februari.
  • Zaharudin memfailkan semakan ke Mahkamah Tinggi mencabar kesesuaian Seksyen 145 dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan.

Zaharudin, 49, bersama tujuh individu lain didakwa menyertai perhimpunan itu bagi menentang proses notis pengosongan meskipun mengetahui arahan supaya ia bersurai telah dikeluarkan.

Menantu kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Datuk Abdul Malik, Kampung Sungai Baru di sini antara 10.50 hingga 11.14 pagi pada 11 September 2025 mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Wirna Arifin menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin namun peguam Latheefa Koya memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga.

Majistret Farah Nabihah Muhamad Dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 24 Februari ini untuk sebutan kes.

Terdahulu, Latheefa memaklumkan Zaharudin telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lepas bagi memperoleh deklarasi bahawa Sesyen 145 Kanun Keseksaan yang digunakan terhadapnya adalah bercanggah dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan. -BERNAMA