Kes bunuh ibu: Motif dipercayai berkaitan wang

Foto Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah

ALOR SETAR, 3 Februari Pembunuhan seorang wanita yang juga eksekutif bank di sebuah rumah di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini semalam dipercayai berkaitan permintaan wang oleh suspek.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek dipercayai membunuh ibu selepas permintaan wang ditolak.
  • Suspek menikam mangsa tiga kali di dada sebelum melarikan diri.
  • Suspek berusia 28 tahun direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata, hasil soal siasat mendapati suspek pulang ke rumah mangsa, iaitu ibunya, untuk meminta sejumlah wang, namun permintaan itu ditolak.

“Suspek kemudian bertindak menikam mangsa di bahagian dada sebanyak tiga kali sebelum melarikan diri,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar termasuk kemungkinan kaitan dengan pinjaman along atau faktor lain.

Setakat ini, senjata yang digunakan dalam kejadian itu masih belum ditemui.

Pagi tadi, Mahkamah Majistret Alor Setar membenarkan suspek berusia 28 tahun direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, suspek ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar ketika menaiki sebuah bas di Kilometer 441.5 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan kira-kira pukul 8.34 malam tadi.