
KLANG, 27 Januari – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan pelbagai komoditi melibatkan nilai rampasan serta duti dan cukai keseluruhan melebihi RM5.75 juta menerusi dua kes berasingan di Pelabuhan Klang, baru-baru ini.
- JKDM Selangor merampas minuman keras, cerut dan beras bernilai rampasan serta duti dan cukai melebihi RM5.75 juta.
- Rampasan termasuk 37,128 liter bir tanpa permit dan 6,250 kg cerut serta 3,900 kg beras di Pelabuhan Klang.
- Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967; orang ramai digalak salurkan maklumat melalui talian bebas tol.
Pengarah JKDM Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi, berkata kejayaan itu membabitkan rampasan minuman keras, cerut dan beras yang dipercayai diimport tanpa permit sah serta diikrarkan secara tidak benar bagi mengelak tindakan penguatkuasaan.
Dalam kes pertama, JKDM Selangor merampas 37,128 liter minuman keras jenis bir bernilai RM1.39 juta, termasuk duti dan cukai, hasil pemeriksaan ke atas dua kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang menerusi Ops Fortex Trident pada 18 Disember lalu.
“Pemeriksaan ke atas dua kontena ini menemui 37,128 liter minuman keras yang diimport tanpa permit sah, dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai melebihi RM1.3 juta,” katanya pada Sidang Media di Pejabat Kastam Selangor, Pelabuhan Utara, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati minuman keras berkenaan diimport dari sebuah negara Asia dan tidak mempunyai permit import seperti ditetapkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, dengan kes masih dalam siasatan.
Sementara itu, kes kedua melibatkan rampasan 6,250 kilogram cerut dan 3,900 kilogram beras bernilai keseluruhan RM4.36 juta, termasuk duti dan cukai, hasil pemeriksaan sebuah kontena di Zon Bebas Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada 29 Disember.
“Siasatan mendapati dagangan cerut dan beras ini diikrarkan secara tidak benar sebagai barangan lain bagi mengelak keperluan permit import, melibatkan nilai rampasan lebih RM4.3 juta.”
Menurut beliau, modus operandi digunakan ialah pengikraran palsu dalam Borang Kastam 1, dengan dagangan diisytiharkan sebagai “food wears” bagi mengelak keperluan permit dan pemeriksaan lanjut.
Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.
JKDM turut menggesa orang ramai membantu membanteras aktiviti penyeludupan dengan menyalurkan maklumat melalui talian bebas tol 1-800-88-8855, dengan jaminan kerahsiaan identiti pemberi maklumat.