
KEMAMAN, 1 Mac – Sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan kira-kira 4.46 batu nautika timur Teluk Penunjuk semalam.
- Kapal tangki ditahan Maritim Malaysia selepas dikesan bersauh tanpa kebenaran di perairan Kemaman.
- Pemeriksaan dijalankan selepas radar mengesan aktiviti mencurigakan semasa Op Khas Pagar Laut dan Op Tiris 3.0.
- Lima kru ditemui, termasuk tekong warga Indonesia; dua dibawa ke jeti untuk siasatan lanjut.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata penahanan dilakukan pada pukul 1.35 petang selepas aset ronda mengesan aktiviti mencurigakan ketika melaksanakan Op Khas Pagar Laut dan Op Tiris 3.0.
Beliau berkata kapal terbabit dikesan melalui sistem radar sebelum pasukan operasi menghampiri dan menjalankan pemeriksaan ke atas kapal berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kapal itu dikendalikan lima kru termasuk seorang tekong warga Indonesia berusia antara 26 hingga 52 tahun.
“Kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, dua kru bersama dokumen kapal dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut.
Manakala tiga lagi kru kekal di atas kapal dan diiring ke lokasi selamat oleh aset Maritim Malaysia.