Kapal persiaran bawa penumpang lebih muatan ditahan

Foto Maritim Malaysia

LANGKAWI, 7 April – Sebuah kapal persiaran yang menjalankan aktiviti pelayaran matahari terbenam di sini ditahan pada Isnin selepas dikesan membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kapal membawa 138 penumpang, melebihi kapasiti lesen 60 orang, menyalahi syarat dan mengundang risiko keselamatan.
  • Ditahan oleh Maritim Malaysia Negeri Kedah pada pukul 5.20 petang di perairan Pulau Bumbon Besar.
  • Semua individu, kapal dan barang kes ditahan untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Penahanan dibuat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah pada pukul 5.20 petang ketika kapal berkenaan berada di perairan Pulau Bumbon Besar.

Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata kapal itu membawa 138 penumpang, berbanding kapasiti maksimum 60 orang mengikut lesen sah.

“Ia bukan sahaja menyalahi syarat lesen, malah mengundang risiko keselamatan kepada penumpang sekiranya berlaku kecemasan di laut,” katanya menerusi satu kenyataan.

Kapal itu dikendalikan seorang kapten bersama lima anak kapal warga tempatan berusia antara 23 hingga 37 tahun.

Kesemua individu terbabit bersama kapal dan barang kes telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana membawa penumpang melebihi had dibenarkan.