Kanak-kanak tiga tahun maut ditemukan tidak sedarkan diri dalam kolam

Foto Fail

IPOH, 24 Mac – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun maut selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam sebuah kolam air buangan berhampiran kediamannya di Simpang 4 Permatang Pelandok, Teluk Intan, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak polis menerima laporan kejadian kira-kira 9.24 malam.
  • Pemeriksaan lokasi mendapati kolam tiada penghadang atau penutup, kedalaman dianggarkan kira-kira empat kaki.
  • Ahli keluarga dipercayai sedang mengemas rumah sebelum menyedari kehilangan mangsa.
  • Tiada unsur jenayah dikesan; siasatan dan bedah siasat sedang dijalankan, kes diklasifikasikan bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Chua Kok Lian berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira 9.24 malam.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ke dalam kolam berkenaan sekitar 7 malam sebelum ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan kecemasan, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan di lokasi mendapati kolam tersebut tidak dilengkapi ciri keselamatan seperti penghadang atau penutup, dengan kedalaman dianggarkan kira-kira empat kaki.

“Ketika kejadian, ahli keluarga dipercayai sedang mengemas rumah sebelum menyedari kehilangan mangsa.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menunggu laporan bedah siasat,” katanya.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai, khususnya ibu bapa dan penjaga, dinasihatkan agar sentiasa memantau pergerakan kanak-kanak serta mengambil langkah keselamatan di kawasan berisiko bagi mengelakkan kejadian sama berulang.