JIM Selangor perketat pemantauan jeti tidak berdaftar menjelang Aidilfitri

Pengarah JIM Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin

KUALA LANGAT, 11 Mac – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor meningkatkan pemantauan di beberapa jeti tidak berdaftar di pesisir pantai negeri itu yang dikenal pasti sebagai lokasi ‘hotspot’ bagi mengelakkan warga asing keluar dari negara melalui laluan tidak sah menjelang Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa kawasan berisiko dikenal pasti sebagai laluan alternatif untuk membawa warga asing keluar tanpa melalui pintu keluar rasmi.
  • Kawasan dikenalpasti termasuk Sabak Bernam dengan jeti tidak berdaftar; laluan sah seperti Pelabuhan Klang dan feri Port Dickson.
  • Pergerakan kenderaan mencurigakan turut dipantau kerana dipercayai membawa warga asing ke lokasi tertentu.
  • Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat jika mengesan aktiviti mencurigakan melibatkan warga asing.

Pengarahnya, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, terdapat beberapa kawasan berisiko yang dipercayai boleh digunakan sebagai laluan alternatif untuk membawa warga asing pulang ke negara asal tanpa melalui pintu keluar rasmi yang diwartakan.

“Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk di Sabak Bernam yang mempunyai jeti-jeti tidak berdaftar serta laluan yang tidak diwartakan.
Sekiranya melalui laluan sah, mereka boleh menggunakan pintu keluar yang diwartakan seperti di Pelabuhan Klang atau menggunakan feri dari Port Dickson,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program inspektorat bazar Ramadan Rimbayu di kawasan Jalan Kebun di Selangor.

Dalam perkembangan sama, pihaknya turut memantau pergerakan kenderaan yang mencurigakan dan dipercayai membawa warga asing ke lokasi tertentu.

Orang ramai juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak imigresen sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan melibatkan warga asing.

Sementara itu, Program Repatriasi Migran (PRM) yang dilaksanakan JIM terus mendapat sambutan apabila lebih 49,000 warga asing di Selangor tampil pulang secara sukarela sejak ia diperkenalkan tahun lalu.

Khairrul Aminus berkata sejak program itu dilancarkan pada 19 Mei 2025, seramai 49,808 warga asing telah menyertainya bagi membolehkan mereka kembali ke negara asal tanpa dikenakan tindakan penahanan.

Menurut beliau, jumlah penyertaan menunjukkan peningkatan ketara sejak Disember lalu sebelum terus bertambah pada Januari dan Februari tahun ini.

Berdasarkan statistik, penyertaan meningkat daripada 5,216 orang pada Disember kepada 6,158 orang pada Januari, sebelum terus bertambah kepada 8,402 orang pada Februari, sekali gus mencerminkan peningkatan yang konsisten.