AADK tahan 35 individu termasuk seorang ibu muda

Foto hiasan

SUNGAI PETANI, 19 Ogos – Seorang wanita yang masih menyusukan bayi berusia empat bulan antara 35 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kuala Muda dalam satu operasi penguatkuasaan pada Isnin

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek berusia 27 tahun ditahan bersama tiga lagi individu di sebuah rumah.
  • Ujian saringan air kencing mendapati wanita itu positif dadah jenis syabu.
  • Wanita pernah ditahan pada Jun ketika hamil lapan bulan dan diletakkan dalam proses jamin.
  • Mahkamah perintahkan pemulihan di Puspen Bachok; AADK dan JKM urus penjagaan anak, permohonan nenek ditolak kerana ujian positif.

Ketua AADK Daerah Kuala Muda, Asnida Ishak dalam kenyataan memaklumkan, suspek berusia 27 tahun ditahan ketika melepaskan gian bersama tiga lagi individu di sebuah rumah.

“Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati wanita itu positif dadah jenis syabu.

“Hasil semakan mendapati ibu muda yang menyara hidup dengan mengutip bahan terbuang pernah ditahan pada Jun lalu ketika hamil lapan bulan atas kesalahan penyalahgunaan dadah dan diletakkan dalam proses jamin,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun wanita berkenaan melanggar syarat serta gagal hadir proses jamin yang dihadapinya sebelum ditahan.

Mahkamah Majistret Sungai Petani pada Selasa memerintahkan suspek, supaya menjalani pemulihan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bachok, Kelantan.

Ketika ini pihak AADK Daerah Kuala Muda sedang berurusan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung penjagaan anak-anak suspek.

Walaupun terdapat permohonan waris iaitu nenek kepada bayi itu untuk menjaga cucunya, permohonan ditolak kerana ujian saringan air kencing wanita berusia 55 tahun didapati positif dadah jenis syabu.

Selain itu anak berusia empat bulan itu suspek juga mempunyai seorang lagi anak berusia setahun.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.