“Geng Lobo” dan “Geng Man Che Lah” curi Kabel TM tumpas

Foto RTM

ALOR SETAR, 10 Mac – Dua kumpulan curi kabel yang dikenali sebagai “Geng Lobo” dan “Geng Man Che Lah”, dipercayai aktif mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) di beberapa negeri sejak tahun lalu, berjaya ditumpaskan polis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sebelas suspek ditahan hasil beberapa operasi di Kedah dan Pulau Pinang.
  • Operasi pertama: lima lelaki ditahan 9 Februari di Taman Tasik Gelugor, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
  • Modus operandi: guna pengesan logam, potong kabel, tarik dengan pacuan empat roda, jual di kedai barangan lusuh.
  • Siasatan: semua suspek tidak bekerja, penagih syabu; lelaki 62 tahun dipercayai pembeli kabel curi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Syed Basri Syed Ali berkata, kejayaan itu susulan penahanan 11 suspek dalam beberapa operasi berasingan di Kedah dan Pulau Pinang.

Dalam operasi pertama pada 9 Februari lalu, lima lelaki yang merupakan ahli kumpulan “Geng Lobo” ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Tasik Gelugor, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 62 tahun itu termasuk ketua kumpulan dikenali dengan panggilan “Lobo” bersama empat rakannya.

“Modus operandi kumpulan ini ialah menggunakan alat pengesan logam untuk mengesan kedudukan kabel sebelum memotong dan mencurinya menggunakan peralatan khas.

“Mereka turut menggunakan kenderaan pacuan empat roda bagi menarik keluar kabel dari dalam lurang sebelum menjual hasil curi di sebuah premis barangan lusuh di Sungai Petani,” katanya.

Siasatan mendapati kesemua suspek tidak bekerja dan menagih dadah jenis syabu, manakala lelaki berusia 62 tahun dipercayai bertindak sebagai pembeli kabel curi daripada kumpulan terbabit.

Menurutnya, kumpulan itu dipercayai terlibat sekurang kurangnya dalam 27 kes jenayah membabitkan lapan kes di Kedah, Pulau Pinang enam kes, Perak, Johor dan Negeri Sembilan masing masing tiga kes, Melaka dua kes, manakala Perlis dan Kuala Lumpur masing masing satu kes.

Sementara itu, dalam operasi berasingan, beliau berkata polis menahan enam lelaki dipercayai ahli “Geng Man Che Lah” berusia antara 25 hingga 35 tahun yang disyaki aktif mencuri kabel telekomunikasi di sekitar Kota Setar.

“Penahanan dibuat hasil serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Taman Orkid, Simpang Empat, awal pagi semalam,” katanya.

Kumpulan terbabit dipercayai terlibat dalam lapan kes jenayah iaitu tujuh kes kecurian kabel serta satu kes pecah rumah dan kecurian kenderaan dalam daerah Kota Setar.