
PUTRAJAYA, 6 April – Dua orang anak Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang gagal hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bakal berdepan tindakan undang-undang tegas.
- Muhammed Amir dan Muhammed Amin gagal mematuhi tiga Perintah Menghadiri Pemeriksaan meskipun peguam mereka menyatakan komitmen hadir.
- SPRM akan menggerakkan Notis Merah INTERPOL dan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk menyekat pergerakan serta memantau status pasport.
- Mereka berdepan tindakan di bawah Seksyen 48(c) Akta SPRM 2009; Asnida hadir dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
SPRM menerusi satu kenyataan mendedahkan kedua-dua individu iaitu Muhammed Amir Zainuddin Daim dan Muhammed Amin Zainuddin Daim gagal mematuhi tiga Perintah Menghadiri Pemeriksaan yang dikeluarkan pada 13 Februari, 11 Mac, dan 6 April 2026 walaupun telah bersetuju untuk hadir memberi keterangan melalui wakil peguam mereka.
“Sebelum ini, wakil peguam yang mewakili mereka telah menyatakan komitmen dan persetujuan untuk hadir pada 6 April 2026, namun demikian, mereka sekali lagi gagal berbuat demikian tanpa sebarang alasan yang munasabah,” menurut kenyataan tersebut.
Selain itu, turut gagal hadir ialah seorang lagi individu, Josephine Premla, walaupun arahan telah dikeluarkan secara rasmi oleh pihak SPRM.
SPRM turut memaklumkan tindakan tegas yang bakal diambil pihaknya terhadap kegagalan hadir memberi keterangan adalah dengan menggerakkan Notis Merah (Red Notice) melalui INTERPOL bagi mengesan individu tersebut di peringkat antarabangsa.
Dalam masa sama, SPRM juga akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi menyekat pergerakan keluar masuk serta memantau status pasport mereka yang terbabit.
Selain itu, mereka juga bakal berdepan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 48(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana ingkar mematuhi Perintah Menghadiri Pemeriksaan di bawah Seksyen 30(1)(a) akta yang sama.
“Bagaimanapun, Asnida Abdul Daim telah hadir dan memberikan kerjasama kepada SPRM dan akan dituduh di bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 7 April,” menurut kenyataan itu lagi.
Sementara itu, seorang lagi anak Allahyarham, Md Wira Dani Daim, telah memaklumkan lebih awal kepada pihak SPRM mengenai ketidakhadirannya.
SPRM memberi amaran keras bahawa sebarang kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan akan menyebabkan tindakan lebih tegas akan diambil tanpa toleransi.