Empat individu termasuk dua wanita warga Vietnam dituduh edar dan miliki dadah

Dua wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Pontian atas tuduhan memiliki dan mengedar dadah/Foto RTM Johor

PONTIAN, 9 Januari – Empat individu termasuk dua wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian hari ini atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, awal Januari lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Empat individu didakwa mengedar MDMA 7.79 kg dan kanabis 2.57 kg di Taman Indah, Jalan Parit Mesjid pada 1 Januari.
  • Tee Jing Xiang dan Koh Wee Han turut menghadapi pertuduhan memiliki Nimetazepam dan Ketamin.
  • Dua wanita warga Vietnam dituduh memasukkan Ketamin ke dalam badan.
  • Kes dirujuk ke Mahkamah Tinggi dan memerlukan jurubahasa Vietnam; tiada pengakuan direkodkan.
  • Mahkamah tidak membenarkan jaminan; sebutan semula ditetapkan pada 10 Mac.

Tertuduh, Tee Jing Xiang dan Koh Wee Han, masing-masing berusia 34 tahun, bersama Nguyen Thi Ngoc Bich, 32, dan Nguyen Thanh Ngoc, 36, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan majistret.

Namun tiada pengakuan direkodkan memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi serta memerlukan jurubahasa Vietnam.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa mengedar dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 7.79 kilogram dan kanabis seberat 2.57 kilogram di Taman Indah, Jalan Parit Mesjid di sini, kira-kira pukul 12.10 tengah malam, 1 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Selain pertuduhan mengedar, Tee Jing Xiang dan Koh Wee Han turut berdepan dua pertuduhan memiliki dadah jenis Nimetazepam dan Ketamin,.

Manakala dua wanita warga Vietnam berkenaan didakwa memasukkan dadah Ketamin ke dalam badan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap semua tertuduh dan menetapkan 10 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan