
KUALA TERENGGANU, 9 Januari – Pemandu Honda Jazz yang terbabit dalam kemalangan tragis seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin, (UniSZA) Isnin lalu, direman empat hari bermula hari ini.
- Pemandu Honda Jazz direman empat hari berhubung kemalangan yang meragut nyawa penuntut UniSZA.
- Kejadian berlaku Isnin lalu di Jalan Kemajuan; mangsa, Syakirah Hanan Mazli, maut di tempat kejadian.
- Suspek, 32, mempunyai rekod rawatan psikiatri dan didiagnosis Major Depressive Disorder sejak Januari lalu.
- Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Yuhanis Mohd Roslan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Suspek lelaki berusia 32 tahun itu dibawa ke mahkamah pagi tadi sebelum permohonan reman dikemukakan.
Dalam kemalangan tragis Isnin lalu, sebuah kenderaan yang dipandu mangsa dirempuh kenderaan suspek menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.
Mangsa, Syakirah Hanan Mazli penuntut UniSZA meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Jenazah allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Kuala Bekah pada hari sama.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor mengesahkan suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri dan disahkan menghidap ‘Major Depressive Disorder’ sejak Januari tahun lalu.
Sebelum kejadian suspek disyaki melarikan sebuah dompet milik orang lain sebelum memecut laju kenderaannya sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.