
SHAH ALAM, 11 Mac – Dua sindiket pengedaran dadah tumpas hasil beberapa serbuan di sekitar Lembah Klang, awal bulan ini.
- Rampasan 116.3 kg bunga ganja: 210 bungkusan, nilai RM9.35 juta, hasil operasi di tiga lokasi.
- Rampasan 105.1 kg syabu: 64 bungkusan, nilai RM5.25 juta; dua suspek ditahan di sekitar Gombak pada 3 Mac.
- Kes pertama: empat warga asing termasuk seorang wanita berusia 20-30an dari benua Eropah ditahan.
- Semua suspek direman; kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Serbuan tersebut berjaya merampas syabu dan bunga ganja lebih 200 kilogram bernilai RM14.6 juta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kes pertama melibatkan penahanan empat warga asing termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 30-an dari benua Eropah.
“Bagi kes pertama, susulan operasi di tiga lokasi berasingan, polis telah merampas sejumlah 210 bungkusan berisi dedaun kering disyaki bunga ganja anggaran berat 116.3 kilogram bernilai RM9.35 juta,” katanya pada sidang akhbar di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Manakala bagi kes kedua pula, dua lelaki termasuk seorang warga asing ditahan di sekitar Gombak pada 3 Mac lalu.
“Polis turut merampas 64 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 105.1 kilogram bernilai RM5.25 juta,” katanya.
Kesemua suspek untuk kedua-dua kes kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.