
MELAKA, 29 Januari – Seorang lelaki dan wanita tempatan berusia 20 dan 24 tahun ditahan Polis Melaka semalam (28 Januari) di sebuah premis di Pusat Niaga Nakhoda di Bandaraya Melaka menerusi Op Pintas Khas.
- Penyelia premis tempatan ditahan disyaki terlibat pemerdagangan manusia dan penggajian pekerja asing tanpa dokumen.
- 25 warga Myanmar ditahan dan dua kanak-kanak diselamatkan dipercayai mangsa pemerdagangan.
- Premis beroperasi sebagai restoran bawah dan tempat tinggal pekerja atas dengan enam bilik, akses dikawal pengurusan.
- Bukti dirampas termasuk telefon, mangga dan jadual kerja; kes disiasat di bawah Akta Atipsom dan Akta Imigresen.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Christopher Patit berkata, mereka yang bertindak sebagai penyelia premis disyaki terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan penggajian pekerja asing tanpa dokumen sah.
Hasil pemeriksaan, pihaknya turut menahan 25 warga Myanmar terdiri daripada 15 lelaki dan 10 wanita berusia 23 hingga 47 tahun serta menyelamatkan dua kanak-kanak warga Myanmar masing-masing lelaki dan wanita berusia 17 tahun yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.
Siasatan awal mendapati premis berkenaan beroperasi sebagai restoran di tingkat bawah, manakala di tingkat atas beroperasi sebagai tempat tinggal pekerja dengan enam bilik.
Pihaknya juga mendapati, pekerja bekerja tanpa hari cuti dari pukul 11 pagi hingga 11 malam, laluan keluar masuk premis dikunci selepas waktu operasi dan kunci hanya dipegang oleh pihak pengurusan.
Turut dirampas dua unit telefon bimbit, satu unit mangga berserta kunci dan beberapa jadual kerja. Kes disiasat bawah Seksyen 14, Akta Atipsom 2007 dan Seksyen 6 (1) (C), Akta Imigresen 1959/63. Manakala dua kanak-kanak akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh bagi mendapatkan Perintah Perlindungan Interim (IPO).