Curi buah sawit, dua lelaki ditahan di Saratok

FOTO IPD SARATOK

SARATOK, 27 Februari – Dua lelaki tempatan ditahan polis bagi membantu siasatan kes kecurian buah kelapa sawit di kawasan Kabong, di sini, baru-baru ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua lelaki tempatan ditahan berkaitan kecurian buah kelapa sawit di Kabong.
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
  • Satu suspek positif amphetamine dan methamphetamine; seorang lagi negatif dadah.
  • Sebuah kenderaan Ford Ranger dirampas dipercayai digunakan mengangkut hasil curian.

Ketua Polis Daerah Saratok, Timbalan Penguasa Polis SDP Matthew Manggie berkata, kedua-dua suspek masing-masing berusia 28 dan 36 tahun ditahan dalam dua operasi berasingan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok yang diketuai Inspektor Hendry Muji.

“Suspek pertama berusia 36 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan pada 22 Februari lalu di Jalan Dato Edward Jerah, Kabong. Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah.

“Suspek kedua berusia 28 tahun pula ditahan pada 25 Februari di sebuah rumah di Kabong, dengan keputusan ujian air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

DSP Matthew berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada 21 Februari kira-kira pukul 10 pagi apabila pengadu menerima maklumat daripada pekerjanya mengenai aktiviti mencurigakan di kebun milik bapa mentuanya di Sungai Saung, Kabong.

Menurutnya, pekerja tersebut sempat merakam gambar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

“Hasil siasatan membawa kepada penahanan kedua-dua suspek serta rampasan sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut buah kelapa sawit yang dicuri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan awal mendapati suspek kedua mengaku terlibat menombak dan mengambil buah kelapa sawit dari ladang berkenaan bersama seorang lagi rakan yang masih bebas.

Suspek turut mengaku melakukan perbuatan itu sebanyak empat kali sebelum ini sebelum menjual hasil curi di kawasan berhampiran Jambatan Sessang.

Suspek pertama pula mengaku menghantar buah kelapa sawit yang dicuri ke sebuah ramp sawit sebanyak empat kali dengan bayaran RM150 bagi setiap penghantaran.