
PELABUHAN KLANG, 7 April – Cubaan menyeludup pelbagai komoditi dengan nilai keseluruhan melebihi RM10.47 juta berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menerusi Op Petasan pada Februari dan Mac lalu.
- Rampasan sirip ikan yu kering seberat 35,660 kg bernilai lebih RM8.2 juta, diimport dari sebuah negara di benua Amerika Selatan.
- Empat kontena sejuk beku mengandungi ayam dan daging babi dipercayai diimport tanpa permit ditahan, nilai rampasan lebih RM2.2 juta.
- Kastam menjalankan siasatan di bawah Seksyen 135(1)(a) dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 mengenai import barang larangan dan pengikraran tidak benar.
Pengarah JKDM Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi memaklumkan, bagi kes pertama membabitkan rampasan sirip ikan yu kering seberat 35,660 kilogram bernilai lebih 8.2 juta ringgit .
Pengimportan sirip ikan yu kering adalah tertakluk kepada permit import dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) sebagaimana yang telah diperuntukkan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, serta Permit Import Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) daripada Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Jelasnya, dagangan itu berasal dari sebuah negara di benua Amerika Selatan.
Sementara itu, empat kontena sejuk beku yang mengandungi ayam dan daging babi sejuk beku dipercayai diimport tanpa permit ditahan di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Utara pada 6 Februari lalu
Nilai rampasan dianggarkan bernilai lebih RM2.2 juta termasuk duti dan cukai dan dagangan berkenaan berasal dari sebuah negara di Asia.
Kastam masih menjalankan siasatan lanjut dan kesemua kes sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan mengimport barangan larangan dan Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan membuat pengikraran tidak benar.