AKPS rampas 50 tan daging babi sejuk beku tanpa permit

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika sidang media berkaitan rampasan daging babi sejuk beku/Foto BERNAMA

PELABUHAN KLANG, 22 Januari – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berjaya mematahkan cubaan membawa masuk dagangan hampir 50 tan daging babi sejuk beku tanpa permit menggunakan dua kontena di Pelabuhan Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • AKPS rampas hampir 50 tan daging babi sejuk beku tanpa permit di Pelabuhan Barat.
  • Daging berasal dari Sepanyol bernilai RM660,137, negara itu termasuk antara 14 negara dilarang.
  • Rampasan kedua minggu itu; jumlah nilai dua kes melebihi RM1 juta.
  • AKPS mengesan juga kemasukan anak babi; orang ramai diminta salur maklumat berkaitan.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pemeriksaan mendapati kontena mengandungi daging babi bernilai RM660,137 yang berasal dari Sepanyol, salah satu daripada 14 negara yang dilarang mengimport bahan tersebut.

“Kontena itu dikesan lebih awal pada peringkat dokumentasi sebelum pemeriksaan fizikal dijalankan oleh pasukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), selain permit import syarikat tempatan yang mengimport daging tersebut juga telah tamat tempoh,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Datuk Seri Mohd Shuhaily berkata, rampasan itu merupakan kejayaan kedua dalam tempoh seminggu selepas hampir 27 tan daging babi dari Belgium bernilai RM495,740 disita pada 14 Januari lalu, menjadikan jumlah rampasan dua kes tersebut melebihi RM1 juta.

Menurutnya, walaupun dagangan berkenaan mempunyai permit, ia gagal mematuhi syarat permit import MAQIS, sekali gus melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama.

AKPS juga giat mengesan lokasi kemasukan suckling pig atau anak babi ke Malaysia susulan kebimbangan terhadap pematuhan peraturan import dan risiko kesihatan awam.

“Saya dimaklumkan pembekal daging babi bahawa negara kita tidak mengeluarkan produk daripada anak babi dan juga tiada kelulusan untuk mengimportnya masuk,” katanya.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan produk berasaskan daging babi secara tidak sah kepada AKPS atau agensi berkaitan untuk siasatan lanjut.