646 kg beras seludup dari Thailand dirampas

Foto Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara

KUALA LUMPUR, 19 MeiPasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya merampas 646 kilogram (kg) beras dipercayai diseludup dari Thailand bernilai RM2,584 dalam satu operasi bersepadu di Pasir Mas, Kelantan, Sabtu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi Taring Wawasan Kelantan dijalankan Strike Force Kompeni CSektor B Jeram Perdah dan Batalion 7 PGA Kuantan bersama Kawalselia Padi dan Beras Kota Bharu.
  • Pemeriksaan di sebuah stor tidak beralamat di Kampung Banggol, Gelang Mas menemui 26 kampit beras pelbagai cap selepas stor didapati tidak berpenghuni.
  • Semua rampasan dibawa ke Kompleks Taktikal Jeram Perdah dan diserahkan kepada Kawalselia Padi serta Beras Kota Bharu untuk tindakan lanjut.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994; risikan dijalankan untuk kenal pasti sindiket dan pemilik stor.

Rampasan tersebut menerusi Operasi Taring Wawasan Kelantan dilakukan Strike Force Kompeni CSektor B Jeram Perdah, Batalion 7 PGA Kuantan dengan kerjasama Kawalselia Padi dan Beras Kota Bharu.

Pegawai operasi, Inspektor Mohammad Badri Jamaludin dalam kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dijalankan di sebuah stor tidak beralamat di Kampung Banggol, Gelang Mas kira-kira 6.00 petang.

“Ketika pasukan serbuan tiba di lokasi, stor berkenaan didapati tidak berpenghuni.

“Selepas menunggu kira-kira 30 minit tanpa sebarang pergerakan individu, pemeriksaan lanjut dilakukan di dalam stor sebelum menemui 26 kampit beras pelbagai cap yang dipercayai diseludup dari Thailand,” menurut kenyataan itu.

Semua rampasan dibawa ke Kompleks Taktikal Jeram Perdah sebelum diserahkan kepada Kawalselia Padi dan Beras Kota Bharu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994.

Siasatan awal percaya stor berkenaan dijadikan lokasi transit bagi menyimpan bekalan beras seludup sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Pihak berkuasa turut sedang menjalankan risikan bagi mengenal pasti modus operandi sindiket serta mengesan pemilik sebenar stor terbabit.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.