fb fb fb fb fb

Warga emas rugi RM31,700 terpedaya iklan jual beli besi buruk di Facebook

MIRI, 19 MAC - Seorang suri rumah berusia 60 tahun mengalami kerugian sebanyak RM31,700.00 selepas tertipu dengan iklan pembelian barangan rumah terpakai dan besi buruk menerusi platform media sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu mengesahkan bahawa Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah, (BSJKD) Miri telah menerima satu laporan polis berkenaan kes tipu "Tawaran Atas Talian" ke atas seorang perempuan warga emas pada 17 Mac lalu.

"Kes tersebut berlaku sekitar Februari 2014 yang lalu dan pada 15 Mac mangsa telah dihubungi suspek untuk urusan jual beli besi buruk yang mahu dijual oleh mangsa kepada suspek.

"Kemudian suspek telah memberi satu pautan/ kepada mangsa supaya memuat turun satu aplikasi bagi tujuan pembayaran deposit urusan jual beli itu," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Alexson, apabila wanita tersebut hendak membuat pembayaran deposit jual beli, mangsa diminta mengisi maklumat perbankan miliknya beberapa kali ke dalam aplikasi namun gagal.

Selepas itu mangsa telah mendapati wang daripada dua akaun miliknya telah berkurang dengan anggaran jumlah keseluruhan sebanyak RM31,700.00.

Siasatan dijalankan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun, dan sebat dan juga denda.

GRACE AISYAH KEDAYAN