fb fb fb fb fb

Warga emas 'putih mata' ditipu lebih RM800,000

Foto hiasan

SIBU, 21 Julai - Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM800,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, mangsa berusia 70-an itu terpedaya dengan iklan pelaburan dikenali 'GVD Coins' yang muncul di laman Facebook.

Teruja dengan tawaran pulangan lumayan, mangsa telah melakukan beberapa transaksi ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek.

Meskipun telah dinasihati ahli keluarga agar menghentikan tindakan tersebut, mangsa tetap meneruskan pelaburan berkenaan sehingga menyedari ditipu.

Ia berikutan tiada sebarang pulangan pelaburan diterima seperti dijanjikan, sebaliknya 'berputih mata' menanggung kerugian besar.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihat sentiasa waspada terhadap sebarang tawaran pelaburan mencurigakan di media sosial.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN