fb fb fb fb fb

Warga Amerika Latin dalang pecah rumah mewah tumpas

Rusdi (dua dari kanan) menunjukkan barangan yang berjaya dirampas oleh pihak polis setelah menangkap suspek pecah rumah milik seorang ahli perniagaan di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 31 Mei lalu/Foto RASTWIN

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Polis berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah warga Amerika Latin yang memecah masuk rumah milik seorang ahli perniagaan di Bukit Damansara pada 31 Mei lalu melibatkan anggaran kerugian sehingga RM7 juta.

Seramai 7 individu diberkas polis di sekitar ibu negara dan Thailand membabitkan lima lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kumpulan penjenayah yang dilengkapi alat 'jammer' kamera litar tertutup (CCTV) itu dikesan menyewa kenderaan untuk ke kediaman yang dikenal pasti, sebelum mengumpil pintu masuk rumah berkenaan.

"Mangsa menyedari rumahnya dipecah masuk selepas mendapati bilik tidur utama dalam keadaan berselerak. Mangsa juga mendapati 30 jam tangan mewah pelbagai jenama, barang kemas dan wang tunai anggaran kira-kira RM7 juta hilang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, di sini, hari ini.

Menurutnya, polis berjaya merampas barang kes dipercayai dicuri iaitu 29 jam tangan pelbagai jenama, 97 barang kemas dan wang tunai dengan anggaran keseluruhan rampasan sebanyak RM4 juta.

Katanya, lima suspek akan dituduh esok mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan serta Seksyen 34 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

"Tiga daripada suspek masih dalam tahanan reman sehingga 30 Jun ini, manakala empat suspek dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN