fb fb fb fb fb

KPDN Perak serbu kilang makanan guna logo halal tidak sah

KPDN Perak serbu kilang roti membungkus produk biskut dengan penandaan logo halal tidak sah/Foto KPDN

IPOH, 27 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 35 bungkus produk biskut yang menggunakan logo halal tidak sah bagi tujuan perdagangan. 

Pemeriksaan dilakukan penguatkuasa di sebuah kilang makanan (biskut dan roti) di Jalan Pasar, Teluk Intan di sini kira-kira pukul 11.00 pagi, semalam.

Pengarah Pejabat KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata premis tersebut mempunyai sijil halal yang sah bagi 26 jenis produk makanan biskut dan roti yang dikilangkan untuk jualan.

"Selepas pemeriksaan lanjut mendapati terdapat satu produk biskut yang ditawarkan untuk jualan di premis ini tiada dalam senarai Sijil Halal. Nilai rampasan dianggarkan berjumlah kira-kira RM620.35.

"Sebanyak 35 bungkus produk biskut tersebut yang dijumpai di dalam premis yang telah siap dibungkus dengan penandaan logo halal dan dipamerkan untuk jualan kepada pelanggan," katanya menerusi kenyataa pada Khamis.

Tambahnya, kesemua produk biskut, bungkusan kosong yang dicetak logo halal dan beberapa dokumen berkaitan disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Kes disiasat di Bawah Perintah (8)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki sebagai pemilik premis perniagaan telah memperaku mana-mana makanan, barangan atau perkhidmatan yang berhubung dengan makanan atau barang-barang itu adalah halal.

GRACE AISYAH KEDAYAN