fb fb fb fb fb

Himpunan ‘Rakyat Lawan Anwar’ tidak diluluskan

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi berkata penganjur tidak mendapat kebenaran daripada pemilik tanah

KUALA LUMPUR, 27 Jun - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan penganjur perhimpunan aman "Bantahan Terhadap Pemerintah" agar tidak meneruskan perhimpunan tersebut yang dijadual berlangsung pada Sabtu ini di hadapan Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pemilik tanah iaitu Perbadanan Putrajaya tidak membenarkan penganjur meneruskan perhimpunan berkenaan.

"Berkenaan perhimpunan kegagalan pemerintah bertajuk Rakyat Lawan Anwar, polis sahkan kita menerima surat pemberitahuan penganjur mengenai perhimpunan pada Sabtu ini di tempat lot letak kereta hadapan Kompleks Sri Perdana, Putrajaya dijangkakan jam 4 petang.

“Namun, dia tertakluk kepada beberapa syarat terutamanya wajib mendapat kebenaran tuan tanah iaitu Perbadanan Putrajaya (PPJ) yang mana pihak berkuasa itu tidak membenarkan himpunan itu diadakan di situ kerana lokasinya tidak sesuai.

“Oleh sebab itu, kami (polis) menasihatkan penganjur berkenaan agar tidak meneruskan rancangan untuk mengadakan himpunan tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini, pada Khamis.

Tegasnya lagi, jika perhimpunan itu diteruskan polis akan melaksanakan tindakan sewajarnya termasuk kawalan keselamatan dan proses menyurai orang ramai berlandaskan undang-undang.

“Jika mereka turun berhimpun, kita akan ‘facilitate’ dengan menempatkan petugas keselamatan di lokasi-lokasi memantau situasi.

“Kami mendapati kumpulan itu digelar diri ‘Demi Negara’ pernah berhimpun di kontinjen Selangor dan kita akan siasat jika ada pihak kenamaan yang berselindung di sebalik kumpulan penganjur itu,” katanya.

Dalam pada itu, polis juga mengesan satu video tular berdurasi 3 minit 41 saat di aplikasi Tiktok, yang mengajak orang ramai menyertai perhimpunan berkenaan.

"Polis sedang menyiasat individu yang menjadi dalang perhimpunan itu.

Ujar beliau, setakat ini pihaknya telah menerima 85 laporan berhubung isu berkenaan.

"Polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah di bawah Seksyen 505B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perhidmatan rangkaian," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN