fb fb fb fb fb

Wanita menyamar sebagai peguam mengaku tidak bersalah beri keterangan palsu di mahkamah

Tertuduh, K. Maragatham diiringi polis ketika tiba di mahkamah

KUALA LUMPUR, 26 Jun- Seorang kerani wanita di sebuah firma guaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menyamar sebagai peguam dan memberi keterangan palsu berkenaan sebuah dokumen bank dalam satu prosiding mahkamah pada 2018 dan 2022.

K. Maragatham, 63 tahun, didakwa secara sengaja berpura-pura menggunakan gelaran peguam bagi sebuah firma guaman yang membayangkan tertuduh berkelayakan untuk bertindak sebagai seorang peguam cara.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Bukit Damansara pada 3 Februari 2018.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37(1)(B) Akta Profesion Undang-Undang 1976 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 37(1) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM2,500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga didakwa memberi keterangan palsu berkenaan satu dokumen bank bertarikh 21 Oktober 2022 semasa prosiding perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Sivil di hadapan Hakim Datuk Azimah Omar pada 28 Oktober 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Sheryn Yong Shi Yee menawarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan manakala peguam Thayalan Moorthy memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya merupakan warga emas.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 8 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE